Wednesday, September 14, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (44) Uda & Dara





Tajuk: Uda & Dara
Penulis: Aisya Sofea
Penerbit: Alaf21 (2011)
547 Mukasurat
Harga: RM22 (SM)/ RM25 (SS)

Pertama kali memegang novel ini, saya begitu tertarik dengan kulit novelnya yang berwarna pink terang. Sungguh cantik dan sungguh manis. Melihat kepada tajuk Uda & Dara juga, saya membayangkan yang saya mungkin menemui kisah Uda dan Dara yang manis, yang romantis dan ada pujuk mesra. Namun setelah saya membaca sehingga habis, ternyata telahan awal saya tersasar.

Entah di mana kurangnya, kerana saya seolah-olah gagal menyelami rasa cinta Uda kepada Dara dan juga rasa cinta Dara kepada Uda yang digambarkan sebagai begitu mendalam.Mungkin juga, saya perlukan penghayatan yang lebih ketika mendalami apa yang Siti Mariam rasa terhadap Izzat Hilman begitu juga sebaliknya. Kalau biasanya, saya kurang gemar membaca novel yang menggunakan kata ganti diri ‘aku’, tetapi kali ini saya dapat menerimanya.Malah agak selesa membaca sehingga ke pengakhirannya walaupun saya mendapati terdapat beberapa kali kesalahan ejaan berlaku dan terdapat ayat yang saya rasa kadang-kala tergantung ( mungkin juga saya salah pemahaman ).

Ini adalah kisah Siti Mariam dan Izzat Hilman. Sejak awal lagi saya membaca sambil berkira-kira sejak umur berapakah Siti Mariam menyimpan perasaan terhadap Izzat Hilman sehingga apa yang berlaku 17 tahun lampau begitu melukakan hati Siti Mariam? Seandainya perkiraan saya betul, umur Siti Mariam baru 12 tahun? Bila difikirkan lagi, adakah seawal itu hal-hal yang berkaitan dengan jodoh akan diperkatakan di hadapan seorang kanak-kanak yang berusia 12 tahun? Ini kerana, arwah ibu dan kakak Izzat Hilman sendiri pernah menghalang Siti Mariam dari mendekati Izzat Hilman ( yang saya kira baru berusia 17-18 tahun) kerana Izzat Hilman hendak dijodohkan dengan sepupunya sendiri.

Walau ada sayang, walau ada cinta antara Siti Mariam dan Izzat Hilman, namun saya rasa perasaan mereka agak terumbang-ambing. Mungkin juga disebabkan masalah-masalah yang berlaku disekeliling mereka. Mungkin juga disebabkan mereka baru cuba menyelami hati dan perasaan masing-masing selepas terpisah selama 17 tahun. Kemelut ayah Siti Mariam bersama ‘ah long’ turut mengocak hubungan Siti Mariam dan Izzat Hilman. Malah selepas berkahwin juga, tentangan yang terang-terangan kakak Izzat Hilman turut menyebabkan hubungan mereka hambar.Agak geram juga dengan sikap kakak Izzat Hilman yang lebih kecohkan rumahtangga adiknya daripada menjaga rumahtangganya sendiri sehinggakan adakalanya saya sendiri ingin menjawab kata-kata sinis kakaknya itu.( Mungkin bagi sesetengah pembaca yang lebih sensitif, boleh saja menitiskan air mata di saat Siti Mariam berdepan kemelut dengan kakak iparnya).

Mungkin juga hubungan mereka menjadi hambar kerana mereka berdua tidak mengambil sikap berterus-terang seama sendiri. Mereka berdua lebih senang membuat andaian demi andaian sendiri.Mungkin agak sukar untuk kita menyelami hati dan perasaan sebenar Izzat Hilman selain dari segala layanan dan perlakuannya terhadap Siti Mariam.Kekadang dengan sikap berdiam diri Izzat Hilman tatkala Siti Mariam terpaksa menelan kata-kata kejam kakaknya, membuatkan kita terfikir, tidakkah inginkah dia memujuk dan membela Siti Mariam di hadapan kakaknya itu? Mungkin juga dia jenis lelaki yang lebih suka berdiam diri dan mengalah bila keadaan memerlukan.

Sesungguhnya kisah Uda & Dara bukan kisah romantis yang penuh kata-kata mesra. Ia adalah kisah cinta yang penuh dengan pergolakan perasaan dan permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka.Bertemu bahagiakah akhirnya?


http://loveLovely.flashwidgetz.com

2 comments:

  1. Salam kak Anita...
    aduh baca resensi kak buat saya terfikir..saya postpone dl baca Uda & Dara...x nak sedih2 time mood tgh swing...

    ReplyDelete
  2. Memang ada bahagian cerita yg boleh buat kita geram..apa2 pun jalan cerita menarik :)

    ReplyDelete