Monday, December 12, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (54) Sayangku Casper




Tajuk: Sayangku Casper
Penulis: Mazni Aznita
Penerbit: Buku Prima ( Cetakan 1, 2 2011)
613 Mukasurat
Harga: RM25.90 (SM)/ RM28.90 (SS)

Walaupun hampir tidak berkesempatan membuat ulasan novel ( walaupun sudah beberapa buah dibaca ) sepanjang bulan Disember ini, namun disebabkan ingin sekali berkongsi sebuah lagi hasil karya salah seorang penulis yang saya suka, Mazni Aznita, saya ingin berkongsikan sedikit  apa yang saya telah baca.Rasa tidak sabar untuk mendapatkan novel ini memang di tahap yang paling tinggi selepas mendapat tahu dalam masa yang singkat sudah masuk cetakan ke-2.

Bagi saya, peminat hasil karya Mazni Aznita memang patut dapatkan novel ini.Mungkin bagi sesetengah orang jalan cerita ada sedikit persamaan dengan salah sebuah drama Korea yang pernah ditayangkan. Namun begitu, penulis mempunyai gaya yang tersendiri untuk menyampaikan jalan cerita sehinggakan saya tidak merasa jemu untuk terus membaca sehingga ke penghujungnya. Ditambah pula dengan latar cerita yang hampir keseluruhannya di Paris. Memang bukan satu kerja yang mudah untuk menggambarkan sesuatu tempat yang tidak pernah kita jejaki, namun dengan segala kemudahan yang ada bukan juga mustahil sehingga seolah-olah kita dibawa bersama menyelusuri Sungai Seine dan menikmati pemandangan Kota Paris dari puncak Montmarte.

Pembaca novel-novel penulis Mazni Aznita tentu sudah biasa dengan setiap konflik dan hubungan antara watak-watak yang agak kompleks dalam novel-novel beliau sebelum ini. Begitu juga di dalam novel ini tidak ketinggalan konflik dan hubungan watak antara satu sama lain juga tidak dapat diramalkan sehingga kita membaca ke penghujungnya. Penuh dengan rahsia yang akan hanya terbongkar di penghujung cerita.Pengolahan konflik yang begitu kemas dan teliti oleh penulis sehingga kita tidak tertanya-tanya akan kelogikannya.

Apa yang menarik juga, watak-watak yang hadir di dalam novel ini semuanya tidak menjemukan. Watak Tia Adila yang laksana watak Cinderella walaupun dia tidak memerlukan kasut kaca untuk melayakkannya bersama putera raja. Tengku Rafique yang mempunyai segalanya kecuali ibu( telah meninggal dunia) dan ayah yang wujud tetapi seperti orang asing.Watak hitam, Tengku Adrian yang kacak tetapi mempunyai hati yang hitam.

Apa yang penting, penggunaan bahasa Perancis dalam novel ini memang menarik,logik (kerana cerita berlatar-belakangkan Paris) dan langsung tidak menggangu pembacaan.Tahniah untuk penulis.
Seine River

Sacre-Coeur on the top of Montmartre ( the highest point in Paris ) 
* Saja jer letak pics sikit. Senang nak imagine tempat2 dalam cerita.Oh..ya yg Sacre-Coeur tu tempat Tengku Rafique menunjukkan Kota Paris kepada Tia selepas Tia mencabarnya, sekiranya dia mampu untuk menunjukkan Kota Paris dalam masa 1 jam barulah Tia akan ikut apa yang dia nak.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Wednesday, November 9, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (53) Dikau Tidak Pernah Jauh



Tajuk: Dikau Tak Pernah Jauh
Penulis: Nur Hatya
Penerbit: Jemari Seni (Sept 2011)
427 Mukasurat
Harga: RM19(SM)/RM22 (SS)

Mula-mula saya agak ragu-ragu untuk berkongsi apa yang saya rasa tentang novel ini.Bukan kerana novel ini tidak menarik tetapi saya agak risau andai apa yang saya fahami itu tidak cukup untuk dikongsikan. Demi menghargai tanda hati dari Jemari Seni untuk Cabaran 50 Buku (Ogos), maka saya cuba kongsikan sedikit apa yang saya dapat dari novel ini.
1.       Cara penyampaian yang agak lain daripada novel-novel yang pernah saya baca sebelum ini menyebabkan agak saya agak tidak selesa pada mulanya.Namun saya teruskan kerana ingin tahu kesudahannya.

2.       Pengisian yang cukup padat dan bermakna disampaikan oleh penulis mengunakan watak-watak yang diwujukan. Fadhil,Firdaus, Halina, Mardhiah dan juga watak-watak yang lain.Memang pembacaan yang penuh pengajaran kepada pembaca-pembacanya. Sesungguhnya Dia memang tidak pernah jauh dari umat-Nya.Cuma kita yang seringkali alpa dengan nikmat dunia sehingga menjauhi-Nya.


3.       Pengertian cinta yang dilihat dari pelbagai sudut.Cinta kepada Tuhan,Cinta kepada harta dan duniawi dan Cinta yang benar-benar ikhlas sehingga membuatkan seseorang itu sanggup menunggu walau apa pun keadaannya.

4.       Mengundang rasa sebak apabila membaca dugaan demi dugaan yang menimpa Firdaus sehingga menyebabkan imannya makin menipis.Memang watak Firdaus telah dikembangkan dengan baik dan berkesan oleh penulis. Dari seorang yang begitu menyayangi buya dan adiknya,kepada seorang lelaki yang begitu gah dengan apa yang dimiliki  dan seterusnya kembali menjadi lelaki yang menyesali kekhilafan dirinya.Rasa kagum, sakit hati dan bersimpati terhadap Firdaus semuanya ada.


5.       Agak tidak puas dengan penamatnya kerana ibu dan bapa tirinya yang mati tanpa kita ketahui,sempatkah mereka berdua bertaubat?Ataupun mereka mati begitu saja? Apa pula tindakan Firdaus apabila dia telah menginsafi perbuatannya? Tidakkah dia cuba menjejaki Tina untuk memohon kemaafan?Mungkin penamatnya perlu dikembangkan sedikit lagi agar hati lebih puas membaca sekiranya semua watak-watak menemui jalan penyudah yang setimpal.
Keseluruhannya, novel ini cukup padat dengan pengisian yang bermakna dari mula sehingga ke akhir cerita. Juga merupakan sebuah novel yang memang berbaloi untuk dimiliki.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Thursday, October 27, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (52) Ikhlas, A.K!



http://loveLovely.flash
Tajuk: Ikhlas, A.K!
Penulis: Nirrosette
Penerbit: Jemari Seni (Ogos 2011)
528 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24(SS)

Ingin sekali saya kongsikan sebuah lagi novel terbitan Jemari Seni, Ikhlas, A.K! yang begitu kuat rasanya bertaut di hati.Sebuah novel yang sangat ‘sweet’, penuh pengisian dan semestinya ada pengajaran yang berguna sebagai panduan.

Entah siapa yang saya lebih suka, saya pun tidak pasti namun kedua-dua watak, Adam Khalis dan Nur Kaseh Kaisara mempunyai kekuatan masing-masing. Mungkin juga saya lebih terkesan dengan watak Adam yang stok budak baik-baik, alim dan sangat ‘sweet’ dalam caranya menyayangi Kaseh. Hati sudah bergetar semenjak tahun pertama memandang Kaseh walaupun ketika itu Kaseh langsung tidak mengenali Adam dan ketika Kaseh sedang bertukar ganti teman lelaki.

Memang kalau dibandingkan Kaseh dan Adam sangat jauh bezanya bagai langit dan bumi baik dari segi cara hidup dan kegemaran masing-masing. Kaseh ‘playgirl of the century’ yang sudah mempunyai koleksi seramai 33 orang teman lelaki sehingga umurnya yang terkini iaitu 20 tahun.Kaseh yang lebih banyak habiskan masanya pergi clubbing,Kaseh yang mempunyai stok segala jenis minuman keras di dalam biliknya,Kaseh yang sentiasa memakai pakaian yang tidak pernah cukup kain.Namun Kaseh yang itu juga begitu menyayangi satu-satunya adiknya, tidak pernah berlagak sombong walaupun ayahnya bergelar jutawan dan mempunyai kecantikan yang boleh dianggap sempurna bagi seorang lelaki. Kaseh itu juga yang begitu tekad untuk melamar Adam Khalis menjadi kekasihnya yang ke-34. 

Mengapa Kaseh yang serba-serbi tidak sempurna dari segi cara hidupnya, Adam sanggup terima untuk dijadikan ‘kawan’? Sedangkan selama ini Adam langsung tidak pernah rapat dengan mana-mana gadis. Adam begitu menjaga jaraknya dengan seorang yang bernama perempuan.
Sememangnya saya mudah bersimpati dengan Kaseh yang begitu jahil dalam soal agama.Hidup mereka berdua beradik hanya disogokkan dengan wang ringgit. Tiada kasih sayang daripada ayah dan ibunya yang sibuk mengejar harta dunia.

Mampukah Adam berjalan beriringan dengan Kaseh yang tidak pernah mengenal erti solat itu? Sejauh mana sayangnya Adam kepada Kaseh dan sejauh mana Kaseh sanggup mengikut segala syarat yang diletakkan Adam sebelum mereka betul-betul menamakan hubungan mereka dari ‘kawan’ kepada ‘kekasih’.Perlukah? Sedangkan gelaran ‘kekasih’ tidak menghalalkan hubungan antara mereka selagi tiada ikatan yang sah.Semudah ‘saya- suka- awak’ dan ‘awak-suka-saya’…and we live happily ever after-aman bahagia untuk selamanya..hubungan Adam dan Kaseh? Ikhlaskah mereka?
widgetz.com

Saturday, October 22, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (51) Jauh Dari Cinta

Tajuk: Jauh Dari Cinta
Penulis: Adah Hamidah
Penerbit: Karya Seni : (Cetakan Ke-3 Nov 2011)
636 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24 (SS)

Karya Adah Hamidah yang kedua saya baca.Tidak dinafikan penulis berjaya menawan saya dengan gaya bahasanya yang indah teratur sekali lagi. Mungkin apa yang kurang bagi saya adalah apabila sudut pandang ‘aku’ digunakan. Kurangnya sebab saya sukar untuk menembusi perasaan watak-watak yang lain. Semuanya harus melalui watak Nysa Sakinah.Namun dalam Jauh Dari Cinta sudut pandangan ‘aku’ memang tepat sebab hampir keseluruhan tumpuan penceritaan adalah kepada watak Nysa Sakinah.Malah jauh dari cinta juga sebuah novel yang sarat dengan emosi dan berjaya membuatkan kita resah selagi kita tidak tahu penghujungnya.

Dalam saya dibawa menghayati setiap rasa dan kata hati Nysa, tetap wujud perasaan geram dan marah terhadap Nysa Sakinah. Dia seolah-olah buta hati kerana berterusan ingin memberi bahagia kepada Farish Aqil, suaminya yang sah dengan cara cuba menyatukan Aqil dengan Lily, cinta pertama Aqil.Dia seolah-olah telah menyerah kalah dengan menganggap memang bukan jodohnya dengan Aqil maka dia seharusnya mengembalikan Aqil kepada Lily.Adakah hal seperti itu terjadi?Menyerahkan hati seorang suami kepada orang lain seperti menyerahkan sesuatu barang.Tidakkah dia ingin menyelami hati dan segala tindak tanduk suaminya untuk mencari sinar cinta yang mungkin ada dari suami buat dirinya? 

Nysa ingin memberi bahagia kepada Aqil yang dianggap hanya akan bahagia dengan Lily, namun dia tahu hatinya tidak pernah ikhlas kerana sesungguhnya Aqil adalah cinta pertamanya dan nama Aqil tetap kekal dihatinya walaupun Aqil pernah berkata ‘biarlah Nysa kekal sebagai adiknya sampai bila-bila’. Cintanya kepada Aqil akan tetap kekal sampai bila-bila walaupun hatinya terluka berkali-kali disebabkan Aqil. Tetapi benarkah hatinya terluka disebabkan Aqil atau Nysa sendiri yang secara tidak sengaja telah melukakan hatinya sendiri dan mungkin juga hati Aqil? Mungkin juga hatinya terluka kerana dia tidak pernah memberi ruang kepada dirinya untuk menyelami perasaan Aqil. Mungkin juga dia terus-terusan terluka disebabkan sikap suka berprasangka, degil dan hanya menurut kata hatinya tanpa mengambil kira hati dan perasaan orang lain.Begitukah cara Nysa menunjukkan rasa cintanya kepada Aqil dengan memberi bahagia kepada Aqil? Nysa memang tidak pernah nampak cinta Aqil kerana dia sibuk melayan lara hatinya.

Kalau begitulah cara Nysa mencintai Aqil memang dia sentiasa jauh dari cinta dan mungkin juga bahagia sukar untuk kunjung tiba. Padan muka. Itulah yang keluar dari hati ketika dia beria menyuruh Aqil menghalang Lily pergi dan Aqil bersetuju untuk menikahi Lily kerana memang itu kehendak Nysa dengan syarat Nysa sendiri yang akan menguruskan pernikahan Aqil dan Lily. Mampukah Nysa melalui semua itu? Mampukah dia menjadi orang ketiga antara Aqil dan Lily? Sanggupkah dia memandang kemesraan antara Aqil dan Lily?Semua jawapan ada dalam Jauh Dari Cinta.

“ Cinta tidak semestinya mencipta bahagia,tapi bahagia sentiasa dapat mencipta cinta”(JDC)


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Saturday, October 15, 2011

Koleksi Jemari Seni

Sebahagian dari koleksi novel Jemari Seni yang dimiliki. Baru saja berjinak-jinak dengan novel setahun yang lalu.Tapi walaupun koleksi JS bannyak ni jer..tapi dah baca lebih separuh dari novel-novel JS kerana jasa seorang teman yang sentiasa berkongsi membaca novel-novel miliknya. Thanks Mimah Zakaria :)


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Friday, October 7, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (50) Aku Bukan Mistress



Tajuk: Aku Bukan Mistress
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel ( September 2011)
671 Mukasurat
Harga:  RM 22(SM)/ RM25(SS)

Novel pertama penulis , Acik Lana, saya rasakan begitu sempurna dan ada segala elemen yang dicari dalam sebuah novel. Bahasanya sederhana tetapi tetap serasi di jiwa.Peceritaan dan pengolahan yang matang dan menyenangkan.Mungkin juga ini adalah kali pertama bagi saya membaca kisah sebegini.Namun yang pasti kisah ini kisah yang menarik bagi saya.( Namun mungkin kurang sesuai dibaca pembaca bawah umur)

Kisah Aku Bukan Mistress mungkin kisah yang biasa berlaku di luar sana.Kisah yang masih berlaku dalam masyarakat kita.Kisah yang sering dipandang hina oleh masyarakat tetapi berapa kerat yang ambil peduli sebab disebalik lahirnya seorang ‘Mistress’ di dalam hidup seorang lelaki. Saya percaya bukan semua yang menjadi ‘Mistress’ adalah kehendak secara rela hati seorang wanita, mungkin keadaan yang memaksa dan mungkin juga kerana tiada siapa yang rela membantu.

Tapi bagi saya Mya Arlissa merupakan seorang GRO yang bernasib baik bertemu dengan Mikail yang ibarat seorang hero dalam hidupnya.Walaupun niat awal Mikail tidak ada bezanya dengan niat lelaki-lelaki lain yang hanya rakus untuk memuaskan nafsu mereka tetapi Mikail tidak rela berkongsi Mya dengan sesiapa.Oleh itu dia lebih rela ‘membeli’ Mya dengan harga RM50,000 daripada ‘bapak ayam’ yang memenjarakan hidup Mya. Selama dua tahun hidup Mya dan Mikail bergelombang dosa. Selama dua tahun juga Mya menjadi ‘Mistress’ Mikail. Sesungguhnya Mya tidak mampun untuk berbuat apa.Kakinya terikat dalam hidup Mikail.

Bagi saya Mikail bukanlah lelaki yang jahat, panas baran dan tidak berperasaan. Bagi saya, Mikail sememangnya seorang hero yang boleh saja membuatkan saya jatuh cinta. Ketepikan cara hidupnya yang berkesedudukan dengan Mya kerana bagi saya mungkin juga kekecewaan yang lalu membuatkan Mikail tersasar cara hidupnya. Bagi saya dia adalah pencinta yang setia, walau sikap panas barannya selalu tersasar bila hal-hal yang berkaitan dengan Mya. Akhirnya dia sedar hidupnya tidak bernyawa tanpa Mya. Jiwanya sasau sekiranya Mya tidak berada di depan mata. Hatinya bertambah rusuh apabila Mya ingin menoktahkan perhubungan mereka yang penuh dosa. Bagaimana Mikail biasa mengikat Mya agar tidak menjauh darinya?Untuk berterus-terang tentang hatinya yang sebenar, dia bimbang andai Mya terus menjauh kerana dia yang mula-mula menetapkan syarat bahawa tidak boleh ada perhubungan perasaan antara mereka. Lalu bagaimana Mikail bisa memiliki Mya hanya untuk dirinya?

Bagi Mya, walau sedar hidupnya penuh dosa, walau tahu gelaran ‘mistress’ begitu hina, namun hidup dengan Mikail lebih baik dari berterusan terpaksa memuaskan nafsu lelaki-lelaki yang berlainan. Biar dia berlindung di bawah sayap Mikail sehingga keadaan mengizinkan untuk dia meninggalkan segala dosa. Sesungguhnya trauma yang pernah dia lalui di kampung lebih melukakan hatinya. Dibuang saudara kerana difitnah.Juga kehilangan nenek tersayang. Siapa lagi kalau bukan Mikail yang bisa melindunginya? Saat kaki ingin melangkah pergi meninggalkan Mikail, kenapa hatinya seolah sudah terikat mati ? Namun dia tidak berani menganyam impian indah bersama Mikail kerana dia sedar menganyam impian tidak sama dengan realiti yang sedang menanti. Kehadiran Suzanne, Datin Adiba, Shamil dan Adam tidak mungkin memudahkan perjalanan hidupnya dan Mikail.Lalu bagaimana?
http://loveLovely.flashwidgetz.com

AS: Cabaran 50 Buku (49) Lagu Cinta Buatmu





Tajuk : Lagu Cinta Buatmu
Penulis:Qaseh Qaisara
Penerbit: Fajar Pakeer ( Cetakan 5 -2011)
490 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)

Lagu Cinta Buatmu, karya pertama penulis yang saya baca. Tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum memulakan bacaan. Akhirnya saya berjaya menghabiskan bacaan dalam setengah hari. Novel  ini mungkin bukan yang terbaik tetapi bagi saya sangat menarik untuk dihabiskan dan cukup santai serta menghiburkan. Tidak perlu memeningkan kepala dan merusuhkan jiwa tika membaca, cukuplah kita hanya menghayati telatah Anis dan Daniel.

Biasa dengan perkahwinan paksa atau terpaksa? Mungkin ada juga yang telah muak dengan jalan cerita sebegini. Namun saya percaya setiap penulis yang cuba membaca persoalan ini mempunyai cara yang tersendiri untuk menampilkan kelainan untuk isu yang sama. Begitu juga dalam Lagu Cinta Buatmu, penulis telah berjaya menambat hati saya dengan kisah Anis dan Daniel.

Anis ibarat menjadi ‘pak sanggup’ apabila terpaksa berkahwin dengan Daniel yang langsung tidak pernah dikenalinya demi menyelamatkan maruah keluarga sahabat ibu tirinya. Perangai bak langit dan bumi. Anis seorang yang periang dan kecoh sementara Daniel seorang yang sangat susah diurus, pendiam dan kepala angin. Walau bertunang dengan Nadia tetapi Daniel tidak pernah menyintai Nadia, lalu ketika akad sudah dilafaz, sayang kepada Anis turut berputik. Namun bagaimana untuk dia luahkan sedangkan dirinya bagi kehilangan kata-kata untuk memulakan perkenalan dengan isteri yang baru dinikahinya?

Memang Anis dan Daniel seperti orang bisu dalam 2 minggu pertama perkahwinan mereka. Namun selepas satu kejadian barulah perhubungan mereka bermula sebagai sahabat. Namun kuasa cinta terhadap seseorang tidak mustahil boleh mengubah seseorang itu menjadi seorang yang lebih baik dan disenangi.Kalau sebelum berkahwin, Daniel bukanlah lelaki yang pandai mengambil hati orang lain, pendiam dan cepat melenting. Tetapi selepas mengenali Anis, dia telah berubah menjadi Daniel yang baru, yang begitu perihatin, memahami, penyayang dan romantik. Daniel yang baru itu membuatkan Nadia lebih bertekad untuk mendapatkan Daniel semula.Adakah Anis hanya berpeluk tubuh membiarkan Daniel yang dia sayang diambil orang lain? Walaupun Anis sanggup, mampukah Daniel menerima Nadia?

Saya suka petikan ini:
“ Anis boleh merajuk.Anis boleh marahkan Daniel. Atau apa-apa saja yang membuatkan Anis tidak senang hati, tetapi bukan kerana Nadia. Daniel tahu dalam rumah tangga tak selalunya begini. Pastinya sekali-sekala kita akan bergaduh juga.Tapi yang paling penting, rumah tangga kita tetap kukuh. Apa pun masalah, kita cuba atasi sebaik mungkin…”

http://loveLovely.flashwidgetz.com