Tuesday, September 27, 2011

AS; Cabaran 50 Buku (47) Bulan di Atas Champs Elysees



Tajuk: Bulan di Atas Champs Elysees
Penulis: Eva Hana
Penerbit : Jemari Seni 2011
305 Mukasurat
Harga:RM17 (SM)/ RM20 (SS)

Terima kasih kepada Jemari Seni kerana menghadiahkan naskah ini.Kalau menurut nota penulis, Bulan di Atas Champs Elysees adalah hampir 80% berdasarkan kisah benar hidup penulis. Maka syabas diucapkan kepada penulis kerana berkongsi kisahnya dengan pembaca walau mungkin setiap pembaca yang membaca mempunyai persepsi yang berbeza mengenai apa yang dilalui oleh Eva Hana.

Rasa ragu-ragu tetap ada ketika ingin berkongsi apa yang saya rasa sebaik habis membaca novel ini. Namun, biarlah saya hanya berkongsi apa yang saya rasa seadanya.

1.       Eva Hana seorang wanita berkerjaya, berilmu pengetahuan, berkeyakinan, kadang-kala agak berani dalam tindakan( boleh saja memberikan ciuman kepada lelaki yang baru ditemuinya) dan sentiasa mencari kelainan dalam hidupnya.Namun dalam cinta saya melihat Eva Hana hanyalah seorang wanita biasa yang agak lemah apabila berdepan dengan perasaannya sehingga ada ketikanya dia terlalu taksub dengan rasa cintanya terhadap Jean Paul sehinggakan dia tidak melihat halangan-halangan yang mungkin dia hadapi apabila dia bertekad meneruskan hubungan dengan Jean Paul. Sedangkan sedari awal perhubungannya dengan Jean Paul segala petanda jelas kelihatan dari segi penerimaan Jean Paul dengan isu-isu berkaitan dengan agama dan cara hidup. Mungkin seawal hubungan Eva Hana patut melupakan Jean Paul dan tidak larut dalam perasaan cinta yang menggunung. ( Itu hanyalah apa yang saya rasakan, tetapi orang yang pernah mengalami lebih memahaminya). Kedegilan Eva Hana untuk berkahwin dengan Jean Paul juga mungkin turut menguris hati dan perasaan ibu bapanya Cuma mungkin mereka tidak sanggup melihat anak yang mereka kasihi menderita kerana mencintai lelaki yang degil seperti Jean Paul lantas mereka lebih rela menurut kehendak Eva Hana.
2.       Saya agak kekok dengan bahasa yang digunakan dalam novel ini. Mungkin juga kerana ada kata-kata yang terpaksa diterjemahkan terus dari bahasa Perancis.
3.       Saya merasa agak lucu dengan panggilan ‘abang Jean Paul’ oleh Eva Hana kepada Jean Paul walaupun ketika itu mereka hanya sepasang kekasih yang baru berkenalan melalui email atau berchatting.Sedangkan di Malaysia sendiri gelaran ‘abang’ itu tidak terus digunakan sekiranya hubungan hanya sekadar kekasih. Rasa agak pelik, atau mungkinkah tiada kata ganti yang lebih sesuai?
4.       Nasib baik juga Eva Hana sempat kembali ke Malaysia sebelum Jean Paul mengetahui dia telah mengandung walaupun itu bermakna dia terpaksa melupakan Jean Paul. Benar juga kata-kata Monsieur Roberts kepada Eva Hana,yang dia tidak perlu membuang hidupnya kerana kasihnya yang termaktub kepada orang lain.

5.       Sebuah kisah yang patut dijadikan teladan.Mungkin pantun seperti yang dibawah tidak boleh digunapakai dalam kisah cinta Eva Hana terhadap Jean Paul kerana ada yang lebih penting selain kasih dan sayang antara dua jiwa iaitu  keluarga dan agama sesorang itu.

‘Nasi lemak buah bidara
 sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
kerana kekasih hamba turutkan’

Apa-apapun rasa kasihan jatuh kepada anaknya, hidup tanpa kasih sayang seorang bergelar bapa. Tiada pengganti Jean Paul kah dalam hidup Eva Hana selepas sekian lama?
Maaf andai ada yang tersilap kata sehingga menguris hati sesiapa kerana bukan niat untuk berkata sesedap rasa, sekadar ingin berkongsi apa yang dirasa.



http://loveLovely.flashwidgetz.com

Sunday, September 18, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (46) Aura Cinta





Tajuk : Aura Cinta
Penulis: Aina Emir
Penerbit : KarnaDya (2005)
568 Mukasurat
Harga: RM19.90

Hujung minggu saya habiskan dengan marathon membaca 2 buah karya Aina Emir iaitu Selamat Malam Kekasih dan Aura Cinta.Keduanya mempunyai kisah yang sama menarik, tetapi saya lebih suka berkongsi karya yang saya lebih selesa untuk membicarakannya.Walaupun seolah-olah masih terngiang-ngiang suara Misyal menyanyi lagu Rapuh untuk Maya Kamilla, namun saya memilih untuk berbicara tentang Azraai dan Aisya Hanan.

Mungkin yang menjadi tarikan saya di dalam novel ini tidak sama  dengan tarikan yang  pembaca lain rasa. Mungkin juga agak sukar untuk meneruskan bacaan jikalau kita hanya membaca baru setakat 2 bab yang terawal.Sesungguhnya saya memerlukan kesabaran untuk membaca melangkaui 2 bab yang pertama sehinggakan terpaksa saya tinggalkan Aura Cinta dan beralih kepada Selamat Malam Kekasih.Namun selepas selesai membaca memang aura novel ini begitu terasa.

Saya suka dengan watak Azraai, walaupun mungkin bagi orang lain dia mungkin lelaki yang tamak. Apa tidaknya, sudah bertunang dengan Nurbaiti wanita yang serba sempurna di mata orang lain tetapi Azraai masih berani menabur janji dan mengatakan sayang kepada Aisya Hanan, gadis rimbanya yang pelik, garang dan kadang-kala tidak dapat diduga karekternya.Walau begitu dia lelaki yang tidak sampai hati menderhaka terhadap ibunya, juga tidak rela menyakiti hati Nurbaiti tetapi dia juga punya hati yang menyintai Aisya Hanan. Namun begitu dia seolah tiada pilihan kerana desakan ibunya untuk mengahwini Nurbaiti, dia  juga hampir hilang arah apabila Aisya seolah-olah menoktahkan hubungan mereka tanpa dia rela.

Saya juga suka membaca novel ini apabila dibawa meneroka perkampungan Orang Asli di daerah Kuala Lipis, Pahang.Pembaca yang sukakan panorama menghijau alam semulajadi sudah pasti dapat merasai pengalaman ini walau hanya melalui bacaan. Pengalaman menjejak kaki ke perkampungan orang asli suatu ketika dulu yang semakin kabur seolah kembali tertayang di mata apabila di bawa bersama oleh penulis ke Kampung Merah dan Kampung Balau.

Walau agak pelik, tetapi begitulah yang terjadi pada pertemuan pertama Azraai dan Aisya Hanan.Pertemuan ketika Aisya sedang bergayut di dahan pokok dan Azraai menyangkakan dia hanyalah seorang budak. Garang dan berperangai gila-gila. Namun rupanya dia gadis berusia 23 tahun dan seorang pelukis yang laris lukisannya di luar negara sehingga dipanggil untuk menyertai pameran di Brugge, Belgium.Namun sekali Azraai telah mengenali Aisya dia tidak dapat melupakannya. Begitu juga dengan Aisya,sekali dia sudah menyayangi Azraai, Azraai lah tempat untuknya berpaut kerana selain mamanya,Anjang & Ijah dia tiada sesiapa lagi.

Tidak perlu untuk saya berkongsi semuanya. Secara jujur, jalan cerita sebegini menuntut kesabaran untuk sampai kepenghujungnya. Namun, sekali anda telah menghabiskan bacaan mungkin juga anda akan tersenyum kerana berpuas hati dan mungkin juga hanya ada rasa menyesal. Tiada jaminan kerana citarasa kita berbeza.
Mungkin inikah sungai tempat Aisya bermain bersama rakan-rakan Orang Aslinya?

Hotel Ter Brughe, Burgee - Tempat Aisya menginap semasa pameran lukisannya di Burgee, Belgium

http://loveLovely.flashwidgetz.com

AS: Cabaran 50 Buku (45) Kasih Yang Kurasa



Tajuk: Cinta Yang Kurasa
Penulis : Anis Ayuni
Penerbit: Alaf21
638 Mukasurat
Harga: RM25 (SM)/RM28 (SS)

Cinta Yang Kurasa merupakan karya kedua novelis popular ini yang saya baca.Selesai membaca helaian terakhir, hati saya masih tidak puas hati dengan penamat cerita ini. Mungkin perlu dilanjutkan sedikit lagi kisah Laila Nabila & Mir Shahriman.Menggunakan kata ganti ‘aku’ ( saya selalu terpaksa lebih beperasaan setiap kali membaca novel yang menggunakan kata ganti ‘aku’ untuk mendapatkan rasa dan menyelami watak-watak ) yang merujuk kepada Laila Nabila, tapi cinta yang Laila Nabila rasa tidak sampai menyentuh hati.

Walaupun perasaan ‘aku’ iaitu Laila Nabila yang sepatutnya saya lebih fahami, namun begitu saya lebih memahami Mir Shahriman dan turut merasa rasa cinta Mir Shahriman yang cuba dia sampaikan kepada Laila.Terlalu mengetahui perasaan Laila membuat saya kadang-kala merasakan bahawa cinta Laila kepada Mir Shahriman tidak seteguh mana. Malah ketika hatinya kosong ditinggalkan oleh Mir Shahriman tanpa kata perpisahan menyebabkan dia membuka ruang untuk Raid walau dia memang mengatakan hatinya telah terisi sepenuhnya. Kekadang saya merasakan Laila terlalu mementingkan perasaan diri  sendiri kerana pada mulanya dia sukar untuk memahami perasaan Mir selepas kemalangan yang menimpa Mir Shahriman. Apa yang dia fikirkan adalah perasaannya yang terluka ditinggalkan oleh Mir Shahriman tanpa kata.

 Mungkin juga sebagai seorang wanita dia beranggapan bahawa tidak sepatutnya seorang wanita itu terlampau menunjukkan perasaan terhadap lelaki walaupun sekuat mana rasa suka atau cinta yang dia rasa. Dia terlalu hebat menjaga egonya sendiri. Disebabkan kehidupan keluarganya telah berubah, Laila merasa agak kerdil jika dibandingkan dengan keluarga Mir Shahriman walaupun hubungan kekeluargaan mereka masih elok . Kalau dia boleh merasa rendah diri kerana perubahan kehidupan keluarganya, tidak kah dia tahu bahawa Mir Shahriman lebih lagi merasa rendah diri kerana dari seorang yang sempurna fizikalnya,dirinya akhirnya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda? Isyarat cintanya kepada Laila begitu jelas walau hanya melalui kata-kata yang agak kasar dan layanan yang bersahaja terhadap Laila.Mungkin tujuan Mir Shahriman bertujuan mewujudkan rasa benci Laila, namun dia tidak berjaya menyembunyikan hakikat hatinya yang mencintai. Sememangnya saya lebih bersimpati dengan Mir Shahriman kerana dia tidak pernah jemu untuk menyatakan bahawa sesungguhnya perasaan cintanya hanya milik Laila walaupun dia terpaksa membuang egonya tatkala melamar Laila ketika dirinya tidak sempurna. 

Membaca novel ini juga penuh dengan perkongsian tentang tempat-tempat menarik di Turki dan bumi Australia.

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Thursday, September 15, 2011

RAPUH - OPICK



Tetiba tersuka mendengar lagu ini apabila jumpa dalam novel yang dibaca. Cari mood untuk menghabiskan bacaan sambil membayangkan watak Misyal :)..Sekadar untuk halwa telinga.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Wednesday, September 14, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (44) Uda & Dara





Tajuk: Uda & Dara
Penulis: Aisya Sofea
Penerbit: Alaf21 (2011)
547 Mukasurat
Harga: RM22 (SM)/ RM25 (SS)

Pertama kali memegang novel ini, saya begitu tertarik dengan kulit novelnya yang berwarna pink terang. Sungguh cantik dan sungguh manis. Melihat kepada tajuk Uda & Dara juga, saya membayangkan yang saya mungkin menemui kisah Uda dan Dara yang manis, yang romantis dan ada pujuk mesra. Namun setelah saya membaca sehingga habis, ternyata telahan awal saya tersasar.

Entah di mana kurangnya, kerana saya seolah-olah gagal menyelami rasa cinta Uda kepada Dara dan juga rasa cinta Dara kepada Uda yang digambarkan sebagai begitu mendalam.Mungkin juga, saya perlukan penghayatan yang lebih ketika mendalami apa yang Siti Mariam rasa terhadap Izzat Hilman begitu juga sebaliknya. Kalau biasanya, saya kurang gemar membaca novel yang menggunakan kata ganti diri ‘aku’, tetapi kali ini saya dapat menerimanya.Malah agak selesa membaca sehingga ke pengakhirannya walaupun saya mendapati terdapat beberapa kali kesalahan ejaan berlaku dan terdapat ayat yang saya rasa kadang-kala tergantung ( mungkin juga saya salah pemahaman ).

Ini adalah kisah Siti Mariam dan Izzat Hilman. Sejak awal lagi saya membaca sambil berkira-kira sejak umur berapakah Siti Mariam menyimpan perasaan terhadap Izzat Hilman sehingga apa yang berlaku 17 tahun lampau begitu melukakan hati Siti Mariam? Seandainya perkiraan saya betul, umur Siti Mariam baru 12 tahun? Bila difikirkan lagi, adakah seawal itu hal-hal yang berkaitan dengan jodoh akan diperkatakan di hadapan seorang kanak-kanak yang berusia 12 tahun? Ini kerana, arwah ibu dan kakak Izzat Hilman sendiri pernah menghalang Siti Mariam dari mendekati Izzat Hilman ( yang saya kira baru berusia 17-18 tahun) kerana Izzat Hilman hendak dijodohkan dengan sepupunya sendiri.

Walau ada sayang, walau ada cinta antara Siti Mariam dan Izzat Hilman, namun saya rasa perasaan mereka agak terumbang-ambing. Mungkin juga disebabkan masalah-masalah yang berlaku disekeliling mereka. Mungkin juga disebabkan mereka baru cuba menyelami hati dan perasaan masing-masing selepas terpisah selama 17 tahun. Kemelut ayah Siti Mariam bersama ‘ah long’ turut mengocak hubungan Siti Mariam dan Izzat Hilman. Malah selepas berkahwin juga, tentangan yang terang-terangan kakak Izzat Hilman turut menyebabkan hubungan mereka hambar.Agak geram juga dengan sikap kakak Izzat Hilman yang lebih kecohkan rumahtangga adiknya daripada menjaga rumahtangganya sendiri sehinggakan adakalanya saya sendiri ingin menjawab kata-kata sinis kakaknya itu.( Mungkin bagi sesetengah pembaca yang lebih sensitif, boleh saja menitiskan air mata di saat Siti Mariam berdepan kemelut dengan kakak iparnya).

Mungkin juga hubungan mereka menjadi hambar kerana mereka berdua tidak mengambil sikap berterus-terang seama sendiri. Mereka berdua lebih senang membuat andaian demi andaian sendiri.Mungkin agak sukar untuk kita menyelami hati dan perasaan sebenar Izzat Hilman selain dari segala layanan dan perlakuannya terhadap Siti Mariam.Kekadang dengan sikap berdiam diri Izzat Hilman tatkala Siti Mariam terpaksa menelan kata-kata kejam kakaknya, membuatkan kita terfikir, tidakkah inginkah dia memujuk dan membela Siti Mariam di hadapan kakaknya itu? Mungkin juga dia jenis lelaki yang lebih suka berdiam diri dan mengalah bila keadaan memerlukan.

Sesungguhnya kisah Uda & Dara bukan kisah romantis yang penuh kata-kata mesra. Ia adalah kisah cinta yang penuh dengan pergolakan perasaan dan permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka.Bertemu bahagiakah akhirnya?


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Friday, September 9, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (43) Rembulan Berdarah



Tajuk: Rembulan Berdarah
Penulis: Anita Aruszi
Penerbit: Kaki Novel (Julai 2009- Cetakan Kedua )
786 Mukasurat
Harga: RM24 (SM)/RM27 (SS)

Membaca sebuah lagi karya penulis, Anita Aruszi yang merupakan salah seorang lagi penulis yang saya suka. Memang tidak sah kalau Rembulan Berdarah ini tidak ada konflik yang saling berkait dari masa silam watak-watak seperti yang kita boleh jumpa dalam novel-novel beliau yang lain ( setakat novel-novel beliau yang pernah saya baca ).

Kalau anda sukakan cerita yang cinta yang penuh luahan kata-kata cinta yang romantis dan adegan pujuk memujuk, ini mungkin bukan novel yang sesuai untuk anda baca. Apa yang anda akan jumpa dalam novel ini bukan sekadar kisah perasaan cinta antara Nasriq Adli dan Raihana Munif atau cinta Zafran kepada Duha Maisara. Malah anda akan bertemu dengan isu yang tidak anda jangkakan.

Ini adalah kisah ketamakan kuasa dan harta ( mungkin anda pernah jumpa dalam novel lain )yang membawa kepada kekejaman kepada mangsa yang tidak berdosa. Termasuklah kaitan dengan kumpulan ‘kongsi gelap’ yang sanggup berbuat apa saja demi kepentingan kumpulan mereka.Juga tentang perbezaan taraf dan kedudukan sesama manusia yang disebabkan perbezaan darjat dan keturunan. Perasaan kasih dan sayang yang terpendam kerana perasaan risau dengan kesan yang bakal terjadi andai ada yang mengetahui rahsia yang tersimpan sejak sekian lama. Anda juga akan bertemu dengan begitu ramai watak yang saling berkait dengan watak utamanya.Rahsia demi rahsia, kejadian demi kejadian membuatkan kita ingin terus membaca dan membaca sehingga kepenghujungnya. 

Kisah duka Raihana Munif mungkin anda turut rasai. Ayahnya dituduh membunuh, kemudian dipenjarakan, seterusnya meninggal dunia. Ibunya, disangkakan sudah dibunuh dengan kejam, rupanya menjadi tidak waras kerana kekejaman musuh. Lebih teruk lagi apabila dia hendak dijual ke sempadan tetapi dia sempat melepaskan diri. Namun nasibnya tidak menjadi lebih baik kerana dia bukan saja terpaksa berpura-pura hilang ingatan, menukar identitinya malah terpaksa hidup dengan Bustaman yang sentiasa memerah keringatnya sejak dari usia mudanya lagi. Dia juga terpaksa menjaga hati Zafran yang jatuh cinta dengannya, kerana sebolehnya dia tidak ingin melukai hati Zafran walaupun hati dia sendiri yang mungkin dilukai dan disakiti.

Sebuah kisah yang penuh debar ketika dibaca. Juga kisah yang menarik.

http://loveLovely.flashwidgetz.com