Friday, May 20, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (25) Valentina Nervosa

Tajuk: Valentina Nervosa
Penulis: Nurul Syahida
Penerbit: Buku Prima
517 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ Rm22.90 (SS)

Hubungan seperti permainan jigsaw puzzle, dalam banyak-banyak kepingan yang perlu dicari, kita perlu tengok gambar di kotak dahulu untuk faham kepingan mana yang patut dicari untuk melengkapkan jigsaw puzzle itu.

Valentina Nervosa merupakan karya pertama Nurul Syahida yang saya pernah baca. Entah kenapa, saya tidak ada keserasian dengan gaya dan penyampaian jalan cerita ( sebenarnya itu perkara biasa, sebab ada novel yang kita kata menarik, orang lain akan cakap tidak).Membaca naskah ini, seolah-olah membaca sebuah buku yang memerlukan saya memberi perhatian penuh, dengan tujuan untuk menduduki peperiksaan penting. Muka pun terasa tegang dan serius sepanjang masa. Tapi bagi pembaca yang baru hendak membaca karya ini, tidak perlu risau kerana penamatnya tetap positif dan turut melegakan hati saya.

Membaca novel ini, anda disajikan dengan watak-watak yang agak seimbang penampilannya. Mungkin juga watak Mariyyah agak lebih dibandingkan dengan yang lain. Mariyyah yang kecewa dalam kata lain fobia apabila menjelang hari valentine selama tiga tahun kerana pada hari itulah dia ditinggalkan Najmudin(kekasihnya selama 7 tahun) tanpa alasan yang logik. Selama tiga tahun itu lah dia akan menangisi perpisahannya dengan Najmudin. Fobia makin menjadi menjelang hari Valentine sehinggalah dia bertemu Amer yang seolah-olah dapat membuatnya merasa bahagia setelah sekian lama dia dibayangi oleh Najmudin.
Mariyyah bukan saja terpaksa berdepan dengan fobianya sendiri, malah dia turut merasa tempiasnya apabila Faizah ( rakan serumah ) putus tunang. Melihat keadaan Faizah yang seolah hilang arah selepas putus tunang, barulah Mariyyah menyedari dia juga mungkin berkeadaan begitu apabila ditinggalkan Najmudin walaupun dia tidak serapuh Faizah yang hampir berubah 90%. Mariyyah juga berdepan dengan Abang Aziz yang putus tunang dan juga mengetahui kisah duka Razif yang selalu dikutuknya juga membuat Mariyyah merasa lebih bersalah.

Disaat dia telah dapat melupakan Najmudin, dia terasa dikhianati oleh teman sebilik, Soraya.Disaat dia cuba menyampaikan rasa bahagia kepada Amer, dia baru mengetahui Amer bukanlah untuknya. Adakah Mariyyah akan bertemu kepingan jigsaw puzzlenya yang sesuai?Jawapannya dalam Valentina Nervosa.

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Sunday, May 15, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (24) Baju Melayu Hijau Serindit


Tajuk: Baju Melayu Hijau Serindit
Penulis: Syud
Penerbit: Jemari Seni (Mei 2011)
430 Muka surat
Harga: RM19(SM)/RM22(SS)

Rasa sangat gembira dapat memiliki karya terbaru Syud, rasa lagi gembira kerana siap dengan tandatangan penulis lagi. Seperti biasa, Baju Melayu Hijau Serindit ini masih lagi mengekalkan bahasa dan cara penyampaian yang segar dan bersahaja. Saya suka.

Apa yang membuat senyum saya semakin lebar adalah kerana dalam saya mengetahui kisah Pacai (Mohammad Firas Adam- nama yang sangat cantik ) saya juga dapat mengetahui lanjutan kisah Adil dan Aulia.Kali ini kisah Pacai, sahabat karib Adil. Kisah yang sangat manis walaupun Firas tidaklah terpaksa menunggu Wardah terlalu lama seperti Adil menunggu Aulia. Namun kesudahannya tetap sama, masih sangat menenangkan dan kalau sudah jodoh, larilah sejauh mana, terpisahlah selama mana, akhirnya tetap bersama jua.

Pertemuan yang bukan seperti pertemuan, lebih kepada kebetulan yang ternyata begitu meninggalkan kesan kepada Firas dan Wardah. 

Wardah – baju melayu hijau serindit yang dipakai Firas + kerana Firas menyapu habis semua novel Nanyian Tanjung Sepi yang sudah lama dicari( yang hanya tinggal 2 saja) membuatkan Firas begitu melekat di hati Wardah sehingga gelaran Shrek wujud.

Firas – nyanyian tapak kaki si kasut merah ketuk ketak ketuk ketak ,mewujudkan nama Dorothy (kerana dia sendiri tidak tahu nama perempuan itu ) dalam hidup Firas. Diri empunya kasut merah yang seolah tidak dapat disingkirkan sehingga dia bertekad menyelitkan kad namanya dalam Nyanyian Tanjung Sepi ketika memulangkan novel tersebut ke kedai buku (dengan harapan Dorothy akan mendapatkan novel itu).
Pertemuan demi pertemuan yang tidak disengajakan seperti membuka peluang kepada mereka berdua sehingga Wardah nekad meminta bantuan Firas untuk menyamar sebagai teman lelakinya kerana dia terdesak apabila mamanya berterusan berniat memadankan dia dengan Ilham. Firas, apa lagi, bagai orang mengantuk disorongkan bantal. 

Walaupun Wardah hanya meminta Firas sekadar berlakon sebagai seorang teman lelaki, tapi mengapa ada cemburu di hati Firas ketika melihat betapa mesranya Wardah dan Abang Hannan ( tidak sabar rasanya hendak mengetahui kisah Abang Hannan :-) ) bersama? Memanglah dia cemburu kerana hatinya memang sudah lama terpaut kepada Wardah. Samakah apa yang dia dan Wardah rasa terhadap satu sama lain? Andai tidak sama, kenapakah Wardah merasa sesak nafas dan hidupnya tidak lagi sama ketika Firas seolah-olah menjauhkan dirinya atau lebih tepat seperti merajuk.Mengapakah dia menangis ketika Firas tidak membalas panggilan telefonnya?

Tidak perlu Wardah berterus-terang kerana Firas sudah dapat membaca apa yang Wardah rasa, dia juga sedar siapa dia di hati Wardah.

Biarlah anda yang belum membaca novel ini mengetahui sendiri mainan perasaan Firas dan Wardah. Bersama menyelami manisnya cara penulis menyampaikan cerita ini.

Saya juga sangat suka melihat hubungan persahabatan yang sangat rapat antara Firas dan Adil :-)
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Saturday, May 14, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (23) Tajdid Rindumu


Tajuk: Tajdid Rindumu
Penulis: Dyza Ainun
Penerbit: Buku Prima (2011)
661 Mukasurat
Harga: RM25.90(SM)/ RM28.90

Terasa bahagia sangat kalau sudah habis membaca satu-satu novel, tambah bahagia jika novel itu mempunyai jalan cerita yang menarik. Entah mengapa, 2-3 buah novel yang dibaca baru-baru ini, semuanya ada kisah rumahtangga. Baru sebentar tadi juga saya bertanyakan seorang teman, makna ‘Tajdid’ walaupun novel Tajdid Rindumu telah saya habiskan sebelum mengetahui makna disebalik perkataan ‘Tajdid’. Sejujurnya, saya tidak pernah menggunakan perkataan ini dan mungkin tidak akan pernah faham cara menggunakan dalam konteks yang sesuai.

Kalau orang lain bertanya tentang novel Tajdid Rindumu kisahnya bagaimana.Dengan sepenuh hati saya akan bercerita betapa cerita ini ada sedihnya, ada lucunya dan ada geramnya, juga kekaguman dengan cara penulis menampilkan setiap watak sehingga saya yang membacanya dapat merasakan perubahan persepsi dan perasaan terhadap watak V’na, Siti Dalila dan Izzul Hakimi. Dalam kata lain, Tajdid Rindumu memang wajib dibaca oleh semua peminat-peminat novel.

Pada mulanya saya merasa agak bengang juga dengan watak V’na yang tidak menunjukkan kelembutan dan keayuan seiring dengan wajahnya yang digambarkan seperti Datin Nur Juma. Saya juga geram kenapalah dia sanggup menerima pujukan Siti Dalila untuk menjadi isteri kedua Izzul.Malah kegarangannya bertambah berkali ganda setiap kali berdepan dengan Izzul. Selepas menjadi isteri Izzul, V’na tetap tidak pernah menunjukkan muka yang manis kepada suaminya walaupun dilayan bak seorang puteri.Namun, selepas saya mengetahui sebab-sebab V’na sanggup menjadi isteri kedua Izzul, saya cuba memahami situasi yang dihadapinya.Ternyata dia bukanlah tiada pendirian seperti yang saya sangkakan. Selepas dia mengandungkan zuriat Izzul, V’na mula menunjukkan kelembutan terhadap Izzul, malah dia sedar yang dia telah kalah dengan keegoan dirinya sendiri. Disebabkan janji kepada Siti Dalila, V’na berusaha untuk menidakkan atau sekurang-kurangnya tidak menunjukkan rasa cintanya kepada Izzul. Bermula dengan perasaan yang kurang senang dengan watak V’na, saya menjadi sangat bersimpati dengan nasib malang V’na yang diceraikan Izzul dengan talak tiga dan kemudiannya terpaksa mengahwini Syakil demi mendapatkan kembali anaknya.

Siti Dalila yang saya lihat sebagai wantia yang malang dan saya seakan turut merasai betapa hatinya remuk disaat suami menyatakan keinginan untuk menikah lagi.Mempunyai segalanya, malah sangat dicintai Izzul, namun kurangnya dia kerana tidak mampu memberi zuriat kepada Izzul. Disebabkan inginkan zuriat juga Izzul meminta kebenaran untuk berkahwin lagi. Pada masa Izzul memberitahu keinginan untuk berkahwin lagi, saya geram juga. Tidakkah dia memikirkan perasaan isterinya yang mungkin terluka, malah sanggup meminta Siti Dalila untuk memujuk V’na agak setuju menerimanya sebagai suami. Walaupun Izzul berkahwin dengan V’na namun dia tidak pernah sekai-kali mengabaikan Siti Dalila. Cintanya tetap ada kepada Siti Dalila walaupun mungkin tidak seharum kasihnya kepada V’na yang mengandungkan zuriatnya. Hati perempuan mana yang tidak merasa cemburu bila suami berkahwin lagi.Mungkin pada awalnya Siti Dalila masih sanggup menjeruk rasa sakit kerana dimadukan tetapi lama kelamaan Siti Dalila telah hilang pertimbangan yang waras. Saat inilah, mula timbul rasa bengang dengan sikap Siti Dalila yang mula menjalinkan hubungan sulit dengan Syakil dan seterusnya memusnahkan hubungan V’na dan Izzul dengan rancangan jahatnya. Malah sanggup menggunakan Syakil agar menikahi V’na kerana ada agenda dendam yang masih tidak tertunai walaupun Izzul dan anaknya telah menjadi milik mutlaknya.

Hati saya turut tercuit dan tersentuh semasa V’na telah disahkan mengandung. Betapa Izzul berusaha memenuhi semua kehendak V’na apabila dia mengidam.Betapa Izzul sangat menyayangi V’na.Kasihnya berlimpah-ruah kepada V’na walaupun sikap V’na masih selamba di depannya. Paling lucu apabila V’na mengidam untuk menuggang di belakang Izzul.Walaupun muka sudah tebal berinci-inci, namun V’na terpaksa juga menyatakan keinginan yang satu itu.

Namun sudah tertulis, dosa yang dilakukan akan sentiasa mendapat balasan, bezanya cepat atau lambat. Begitu juga derita yang dikirimkanNya kepada kita tidak untuk selamanya, sekadar untuk menduga, kerana pasti ada bahagia yang menanti.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Wednesday, May 11, 2011

AS: Cabaran 50 Buah Buku (22) Kasih Benar Kasih




Tajuk: Kasih Benar Kasih
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit: Alaf21 (2011)
496 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24(SS)

Benarlah kata orang, kalau sudah kasih, sehebat manapun hati dicalar tetap tidak berbekas kerana sudah diganti sayang.

Saat saya memulakan bacaan, saya sudah dapat mengagak bahawa saya akan suka novel ini. Memang tidak salah jangkaan saya kerana setelah selesai, saya dapat simpulkan yang Kasih Benar Kasih merupakan antara novel pilihan terbaik hati saya.

Sejak dari awal pembacaan, hati saya sentiasa memainkan pelbagai rentak. Ada kalanya saya tersenyum sendiri, ada masanya hati tersipu malu, kerap kali juga hati bagai diketuk bertalu-talu, dan kadangkala sarat dengan emosi yang hampir membuatkan saya menitis air mata.Apa yang pasti dipenghujungnya saya masih mengurut dada tanda lega, terukir senyum bahagia. 

Memang cerita begini, cerita biasa tetapi cara penulis menyampaikannya menjadikan novel ini begitu istimewa bagi saya. Belum berkahwin dalam usia yang lewat bagi seorang wanita memang tidak pernah lari dari pandangan dan kata-kata orang di sekeliling. Seolah-olah kalau lambat berkahwin itu satu dosa dan yang telah berkahwin itu seolah-olah telah mendapat bonus sepanjang hayat. Namun bagi saya, cepat atau lambatnya jodoh seseorang itu bukan kita yang menentukan.

Pada usia 29 tahun Annura belum berteman. Begitu juga dengan Dinzley yang sudah menginjak usia yang sepatutnya mendirikan rumahtangga, namun masih sendiri. Lantas kedua-dua ibu bapa mereka sepakat membuka jalan untuk mereka berdua berkenalan. Tidak memaksa kata mereka tetapi cukup sekadar mereka ingin mencuba, kalau tidak serasi boleh saja mengundur diri. Disebabkan masing-masing tidak ingin menguris luka hati orang tua, maka mereka mencuba mencari keserasian yang begitu sukar hadir antara mereka. Walau kedua ibu bapa mereka tidak memaksa tetapi mereka berdua dapat membaca begitu menggunung sekali harapan orang tua mereka untuk melihat mereka bersatu. Mampukah Annura dan Dinzley mengatakan tidak?


Annura:
Bukan tidak manis malah cukup sempurna serba-serbi sebagai seorang wanita, lemah-lembut tetapi kenapa hatinya seolah-olah telah tertutup untuk seorang yang bernama lelaki? Menyelami tingkah Annura tidak sesukar mana, walau dia dilihat sebagai seorang yang sentiasa mengalah, namun di hadapan Dinzley dia kadang-kala tidak betah dengan usikan-usikan Dinzley yang dia rasakan seorang yang sangat angkuh. Namun di saat hati sudah ada bunga-bunga kasih terhadap Dinzley, dirinya merasakan begitu terhina ketika Dinzley berniat menangguhkan perkahwinan mereka. Bagi Annura, tindakan Dinzley sudah begitu difahaminya, Dinzley tidak ingin berkahwin dengannya.Disaat Dinzley melamarnya, Annura bersetuju menerima. Namun ada niat yang terpendam rupanya, mengapa dia sudi menerima Dinzley sebagai suami walaupun hatinya bagai sudah dihiris-hiris.

Kadang-kala saya sesak nafas bila mengenangkan lebih setahun Annura mencuba membalas dendam dengan menyakiti hati Dinzley. Begitu tega hatinya membawa bersama dendam terhadap seorang suami.Apa akan terjadi andai di waktu dia sedar sudah begitu terlewat untuknya memohon kemaafan dari Dinzley?

Dr. Dinzley:
“Awak ni comel macam arnab sayalah”, Dr Dinzley
Sesiapa saja yang membaca novel ini pasti akan jatuh cinta dengan watak Dinzley. Bagi saya dia mungkin hero yang telah berjaya mengambil tempat Joe Jambul ( dalam Sweet Sour ) di hati saya ( setelah sekian lama bertahta di hati ). Mungkin dari segi paras rupa dia tidak sehebat Joe, namun Dinzley ada semua ciri-ciri yang boleh menawan hati sesiap saja. Seawal pertemuan dengan Annura, Dinzley sudah merasakan begitu berlainan sekali. Lain bukan kerana telah jatuh cinta, tetapi kerana dia terasa bahagia dapat mengusik hati Annura. Entah bila dia pun tidak pasti, nama Annura telah bertahta di hati dan tidak mungkin ditukar ganti walaupun Syirin hadir semula dalam hidupnya. Namun, kerana salah pertimbangan, tanpa disedari dia telah melukai Annura yang dicintainya sehingga menghancur-lumatkan hatinya sendiri.
Betapa saya begitu terharu dengan kesabaran Dinzley melayan karenah Annura yang sengaja menyakiti hatinya. Wujudkah lelaki yang begitu sabar walau berkali-kali hati diuji oleh seorang isteri?Malah segala layanan  yang dilayangkan oleh Annura dengan tujuan menyakiti hatinya diterima Dinzley dengan senyuman dan hati yang lapang. Namun sejauh manakah dia boleh bertahan dan bersabar?Mampukah Annura dan Dinzley bertemu bahagia yang begitu liat bertamu?

Banyak lagi yang saya ingin perkatakan kerana hati saya telah jatuh suka dengan novel ini. Namun biarlah bakal pembaca-pembaca novel ini mencari dan menilai sendiri di mana istimewanya novel ini.


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Tuesday, May 10, 2011

AS: Cabaran 50 Buah Buku (21) Rapuh Tanpa Dia

Tajuk: Rapuh Tanpa Dia
Penulis: Maya Bahrun
Penerbit: Fajar Pakeer (2011)
480 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)

Membaca ringkasan bahagian belakang novel membuat saya tidak dapat meneka apa yang bakal dipersembahkan dalam novel ini. Jarang sekali saya membaca novel yang mana watak utamanya adalah artis atau penyanyi. Namun, selepas menghabiskan bacaan, ternyata novel Rapuh Tanpa Dia tidak  mengecewakan walaupun saya tidak katakan sebagai antara yang terbaik. Ini kerana, setiap bahagian dalam cerita penuh dengan pengisian yang bermakna kepada jalan cerita.

Ini kisah Lizelia Kamal digambarkan sebagai seorang artis yang cantik, menjadi pujaan dan buruan lelaki ( walaupun hanya Khalid yang saya nampak memburu Liz tanpa jemu ). Juga kisah  Kairi, seorang vokalis kumpulan terkenal yang sedang meningkat naik.

Apa yang saya suka:
  • a)      Saya suka bagaimana watak Liz dan juga Kairi digambarkan oleh penulis. Walaupun artis terkenal, mereka berdua tetap hidup sederhana dan tidak pernah alpa dengan populariti masing-masing.
  • b)      Suka watak Kairi walaupun tidak digambarkan sebagai seorang yang sangat kacak macam hero-hero yang lain tetapi tetap sedap dipandang mata dengan rambut yang sentiasa serabut. Tidak banyak cakap tetapi setia dengan rasa cinta kepada Liz walaupun Liz tidak pernah menjanjikan apa-apa. Apa yang penting, bersama Kairi, Liz rasa selamat.
  • c)       Suka juga watak Khalid, watak jahat yang memang boleh membuat kita sakit hati dan meluat. Anak orang ternama yang tercalar egonya kerana ditolak Liz sedangkan sebelum ini tidak pernah mana-mana gadis menolaknya. Kesudahannya, kerana dendam, Khalid sanggup melakukan apa saja sekalipun perbuatan keji, demi mendapatkan Liz.
Apa yang saya rasa kurang:
  • a)      Bagi saya, sebagai watak utama, watak Kairi masih tidak begitu meninggalkan kesan dijiwa(menurut rasa saya,kerana seorang teman yang telah membaca novel ini begitu tertarik dan jatuh cinta dengan watak Kairi ). Mungkin watak Kairi boleh dibentuk dengan lebih terperinci lagi agar kekal di hati pembaca.
Sebuah novel yang tidak mengecewakan dan tidak terlalu berat.

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Saturday, May 7, 2011

AS: Cabaran 50 Buah Buku (20) Mencari-Suami@JS.com


Tajuk Mencari-Suami @JS.com
Penulis: Normaslina Masri
Penerbit: Jemari Seni (April 2011)
617 Mukasurat
Harga: RM22 (SM)/RM25 (SS)

Mungkin benarlah kata orang, kita jarang sekali menghargai orang yang ada depan mata kita. Hanya selepas ketiadaannya baru kita terasa. Tidakkan tindakan sebegitu boleh dianggap sebagai tidak mensyukuri apa yang kita miliki?

Disebabkan jasa baik seorang teman, 3 novel terbaru dari Jemari Seni sudah di tangan. Manakan mungkin untuk saya yang jauh dapat menjejak kaki ke KLIBF yang berlangsung baru-baru ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau.

Memang tidak dapat disangkal, kulit-kulit novel Jemari Seni semakin menarik, dengan warna-warna yang memukau.Begitu juga dengan Mencari-suami@JS.com ,berkali-kali saya membelek kulit novel ini sebelum memulakan bacaan.

Sejujurnya,saya mengambil masa agak lama untuk  mula menyukai jalan cerita dalam novel ini. Pernahkah anda mempunyai pelbagai rasa ketika membaca sesebuah novel? Itulah yang saya rasa sepanjang pembacaan saya. Peringkat permulaan yang agak lambat untuk saya rasakan sehinggakan saya hampir meletakkan kembali novel ini tetapi saya tidak meneruskan niat tersebut kerana terasa sayang. Mungkin:
i)                    Saya memang tidak mudah serasi dengan cerita yang menggunakan kata ganti ‘aku’  untuk watak utama dalam satu-satu novel. Hal ini demikian kerana,sukar untuk saya selami watak-watak lain secara mendalam selain watak utama. (Ialah masing-masing ada selera yang berbeza )
ii)                   Bahagian awal saya rasakan kurang pengisian. Saya cuma mula berasa seronok meneruskan pembacaan selepas habis Bahagian I.

Antara 4 watak penting ( menurut sayalah ) Sofea Saloma, Aliff, Yusuf dan Sham, entah mengapa perasaan saya lebih kepada Yusuf. Mengagumi dan menghargai segala-galanya tentang Yusuf. Tiada satu pun perlakuan atau tutur kata Yusuf menimbulkan perasaan tidak puas hati. Yusuf, saya anggap hampir sempurna sebagai seorang calon suami tetapi mengapa Sofea tidak pernah melihat semua kelebihan Yusuf? Hinggakan selepas ketiadaan Aliff pun Sofea begitu berat untuk menerima Yusuf kalau tidak mengenangkan masa depannya dan anak-anak. Begitu setiakah, Sofea kepada Aliff?

Namun selepas berusaha menyelami watak Sofea, saya tetap tidak berapa setuju dengan beberapa tindakannya yang dianggap tidak rasional( menurut pandangan saya ). Mengiklankan diri untuk mencari suami dan mengamanahkan kawannya untuk menandatangani kontrak bagi pihaknya seolah-olah menyerahkan masa depannya untuk sesuatu yang sangat berisiko. Nasib baik orang yang dinikahi adalah lelaki yang pernah singgah dalam hidupnya suatu ketika dulu. Selepas berkahwin dengan Aliff, sekali lagi saya berasa terkilan dengan perlakuan Sofea yang mengambil masa begitu lama untuk memaafkan Aliff sedangkan mereka sudah sah sebagai suami isteri. Sikap saling merahsiakan dan tidak berterus terang dengan pasangan merupakan amalan yang tidak sihat. Akhirnya Sofea juga hanya mampu menyesali setiap perlakuannya terhadap Aliff setelah dia tiada. Kesalkan dengan sikap Sofea ini?

Aliff, walaupun saya masih tidak faham mengapa dia sanggup meninggalkan Sofea dan berkahwin dengan Zura yang hanya dikenali selama 2 bulan namun selepas dia menikahi Sofea saya jatuh kesian dengannya. Dia juga turut merahsiakan sesuatu dari Sofea. 

Bagi saya, kalau saya Sofea, saya juga tidak mungkin memilih Sham sebagai suami.Mungkin hanya serasi sebagai teman baik saja. Rasionalnya, saya melihat Sham sebagai lelaki yang tiada keberanian untuk meluahkan perasaan sedangkan dia telah lama menyukai Sofea.
Apakah yang akan terjadi kepada Yusuf? Adakah Sofea akan mengulangi kesilapan yang sama yang pernah dia lakukan ketika menjadi isteri Aliff? Jawapannya hanya akan terjawab sekiranya ada sambungan untuk Mencari-Suami@JS.com II.:)

http://loveLovely.flashwidgetz.com