Tuesday, June 14, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (30) Mungkin Nanti


Tajuk: Mungkin Nanti
Penulis: Anita Aruszi
Penerbit: Fajar Pakeer (2011)
645 Mukasurat
Harga: RM22.90(SM)/ RM25.90(SS)

Membaca sebuah lagi karya Anita Aruszi membuatkan saya tidak sabar untuk mengetahui pengakhirannya. Mungkin Nanti mungkin tidak banyak menampilkan kelainan dari novel-novel beliau yang terdahulu
(kecuali Kasihku Arina). Namun karya-karya beliau tetap saya suka.

Seperti biasa, watak-watak yang ditampilkan mempunyai kaitan masa silam antara satu sama lain. Aqila Murni, ditampilkan sebagai watak yang kurang sempurna. Walaupun berwajah manis namun, Aqi dilahirkan buta warna.Namun Aqi tidak pernah menyesali hidupnya yang tidak seindah hidup orang lain. Aqi juga tidak pernah mengenali ayahnya sejak lahir kerana ibunya diceraikan saat dia masih dalam kandungan. 

Namun, ketika pertama kali bertemu Nadzihar Hakim (Zahar), entah mengapa dia dapat melihat warna-warna yang begitu indah apabila dia memandang Zahar. Walaupun Zahar tidak pernah menyukai Aqi kerana pernah terluka disebabkan seorang wanita yang bergelar ibu, namun takdir menemukan mereka berkali-kali sehingga akhirnya Aqi terpaksa tinggal sebumbung dengan Zahar.

Zahar yang terluka ditinggalkan oleh ibunya kerana mengikut lelaki lain semenjak usia yang masih kecil tidak mampu membuang rasa terluka dan sakit di hati.Oleh sebab itu dia memilih untuk membenci dan tidak pernah membukakan hatinya untuk seorang wanita.Namun, takdir menentukan sebaliknya kerana akhirnya dia sedar dia menyayangi Aqi dan menyenangi kehadiran Aqi dalam hidupnya.

Sanggupkah Zahar menerima selepas dia mengetahui kekurangan Aqila Murni dan sanggupkah dia mengorbankan perasaan hatinya apabila dia mengetahui Aqila Murni mempunyai kaitan dengan penyebab derita yang ditanggungnya selama ini? Lalu adakah Iman yang lebih memahami akan mendapat ruang di hati Aqila Murni?

Dalam keasyikan membaca bab-bab akhir, hati saya sempat merungut apabila tiba-tiba ibu Zahar yang pernah meninggalkan Zahar ketika dia masih kecil dan membuatkan hati anaknya terluka memandai-mandai meminta Aqi meninggalkan hidup Zahar kerana takut Zahar akan terluka lagi selepas mengetahui kebenaran. Apa hak Sri Jalena meminta Aqi meninggalkan Zahar? 

Mungkin juga baru pertama kali saya menemukan heroin yang mempunyai masalah ‘colourblindness’. Satu kelainan yang menarik bagi saya.



http://loveLovely.flashwidgetz.com

Tuesday, June 7, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (29) Langsir Biji Remia

Tajuk: Langsir Biji Remia
Penulis: Noor Suraya
Penerbit : JS Adiwarna ( 2011)
263 mukasurat
Harga: RM 17 (SM)/ RM19 (SS)

Disaat memegang novel ini hati berbunga ria kerana tidak menyangka dapat naskah yang istimewa ini berserta tandatangan penulis lagi. Lagipun saya tidak pernah mendapatkan novel JS  Si Manis 17 dan saya tidak tahu apa perbezaannya dengan novel umum yang kerap kali saya baca.Namun hati tertanya-tanya juga, sesuaikah novel Si Manis 17 ini untuk saya yang sudah 3 kali ganda di luar lingkungan 17 ini? Malah rakan-rakan yang berkongsi membaca novel turut tertanya-tanya.Nantilah, akan saya kongsikan apa yang saya rasa tentang novel ini dengan mereka.

Setiap karya Noor Suraya yang saya baca tidak pernah hanya memberi rasa keseronokan membaca semata tetapi dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang diselitkan dalam setiap ayat bahasanya yang indah terjalin. (Bukan juga bermakna novel-novel lain yang saya baca tidak menyampaikan atau menyelitkan ilmu kepada pembaca-pembacanya. Setiap satu novel yang saya baca membawa makna yang tersendiri buat saya).Tidak usahlah dilihat dari segi bahasa yang digunakan, memang berada dalam kelas yang tersendiri,punya tarikan untuk terus dihayati.

Dalam novel ini, anda bukan saja membaca kisah Duha Hafa dan Umair.Diselitkan juga secara halus pandangan masyarakat kini terhadap bahasa dan sastera bangsa Melayu itu sendiri.Juga anda dibawa menyertai perjalanan Duha mengerjakan umrah, tempat pertemuan pertama dengan Ahmad Muhsin.Malah anda juga berpeluang menemui hidup rukun keluarga Duha Hafa walaupun berlainan rumpun namun hidup dalam penuh keserasian dan kebahagian.(Memang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur ).

Duha Hafa rakan sembang tingkap Umair zaman kanak-kanak. Dalam usia yang begitu muda juga, Umair sudah menyimpan hatinya untuk Duha. Duha yang cantik. Duha yang matanya bundar sayu seperti mata unta. Selepas sepuluh tahun, mereka bertemu semula. Namun Duha sudah berubah menjadi seorang yang pendiam dan memakai purdah hitam. Umair yang masih ‘menyimpan’ wajah Duha yang cantik di hatinya merasakan sudah masanya dia berterus-terang dan mengikat Duha sebelum Duha diambil orang lain. Namun, Umair tidak dapat menerima Duha selepas melihat wajah Duha yang baru. Malah Umair tidak sanggup memandang Duha dengan rasa cintanya lagi. Dia juga menghindar dari Duha. Amat tidak budiman Umair walaupun dia memberikan seribu alasan (untuk menunjukkan yang dia bukan lelaki jahat)untuk tindakan dan layanannya terhadap Duha.

Mungkin sudah tertulis bahawa wanita yang baik hanya untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Duha Hafa mendapat Ahmad Muhsin yang sentiasa memandang indah wajah Duha kerana dia melihat hati dan peribadinya. Manakala Umair mendapat Tamara Talib Winstedt yang dia pandang cantik luarannya macam perhiasan tetapi tidak mampu menjadi seorang ibu dan isteri sebaik Duha Hafa.

Ingin sekali saya mengetahui lanjutan kisah Amar dan Zara, rakan sembang tingkap yang baru.Andai ada kisah Amar dan Zara, biarlah Amar tidak seperti Umair.Biar dia tidak seperti Umair yang hanya memandang yang cantik saja dan biar juga dia tidak seperti Umair yang hanya mengatur kata yang tidak mampu dikota.


http://loveLovely.flashwidgetz.com

AS: Cabaran 50 Buku (28) Aku Kan Novelis



Tajuk : Aku Kan Novelis
Penulis: Nurul Syahida
Penerbit: Buku Prima (2010)
455 Mukasurat
Harga: RM17.90 (SM)/ RM20.90 (SS)

Aku Kan Novelis merupakan karya kedua Nurul Syahida yang saya pernah baca. Walaupun pernah membaca dua karya beliau tidak bermakna saya sudah faham benar cara penyampaian penulis ini. Namun apa yang saya dapat rasakan, Valentina Nervosa dan Aku Kan Novelis ini mempunyai persamaan dari cara penulis menampilkan satu-satu watak. Saya akui begitu tertarik untuk mendapatkan novel ini selepas beberapa kali membaca komen-komen yang positif dari resensi pembaca-pembaca yang lain. Sejujurnya kalau perlu memilih antara dua novel ini, saya lebih suka Aku Kan Novelis.

Saya tidaklah begitu arif untuk menilai istimewanya novel ini dari segi apa. Namun, yang pasti, di dalam novel ini saya temui kelainan. Jalan ceritanya bukanlah kisah yang membelai jiwa dan membuat anda ingin menangis. Jadi pembaca yang sukakan cerita sebegitu mungkin tidak dapat menerima cara penyampaian penulis ini ( saya dan rakan-rakan sudah terlalu kerap berbeza pendapat tentang novel-novel yang saya suka tetapi mereka tidak suka dan begitulah sebaliknya). Benar, kerana masing-masing berbeza citarasa.

Safiah Shuhaimi atau Safi saya rasakan seorang yang serba tahu apa yang dia lakukan dan dia merasakan dialah penyelesai masalah bagi dua kawan karibnya Helmi dan Iza yang dibelengu masalah perhubungan. Disebabkan usahanya juga, Helmi dan Iza menjadi pasangan bahagia. Semuanya terjadi kerana ‘diakan seorang novelis’, dia faham masalah orang lain dan dia dapat menyelesaikan masalah mereka. Namun, Safi sendiri tidak pernah jatuh cinta apatah lagi bercinta.Mengapa dia boleh berlagak bagai ‘doktor cinta’ dengan kawan-kawannya malah telah menulis novel-novel cinta yang mendapat sambutan?

Masalah sebenar Safi bermula apabila dia dipertemukan dengan Roul atas aturan yang Helmi dan Iza buat. Niat mereka untuk memberi masalah kepada Safi dan biarlah Safi menyelesaikan masalah itu benar-benar menjadi. Bertemu Roul tidak seperti dia bertemu lelaki normal ( normal menurut pandangan Safi) kerana Roul, rambutnya merah, mata kanannya juga merah, Safi juga perasan yang telinganya bertindik. Malah bicara Roul juga bukanlah bicara lelaki budiman, bicaranya penuh dengan carutan.

Berapa ramai wanita yang sanggup bertemankan lelaki seperti Roul? Saya tersenyum sendiri apabila Roul memangil Safi,’Lulu’ kerana telinga Safi tidak suka mendengar panggilan ‘lu’ dan ‘gua’ yang Roul gunakan. Kedengaran comel sangat.

Adakah Safi dapat menyelesaikan masalahnya yang satu itu? Dapatkah Safi memandang Roul dengan hatinya tanpa melihat rambut dan matanya  yang berwarna merah?Kalau anda sukakan karya yang santai, karya ini boleh anda pertimbangkan untuk dibaca. Permulaan yang agak perlahan namun,pembacaan saya lebih menjadi berwarna-warni selepas kemunculan Roul dalam hidup Safi.


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Sunday, June 5, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (27) Bukan Cinta Monyet


Tajuk: Bukan Cinta Monyet
Penulis: Hasliza Ismail
Penerbit: Kaki Novel ( Mei 2011)
476 Mukasurat
Harga: RM19 (SM)/ RM22 (SS)

Sebuah novel yang membawa anda kepada tema yang selalu kita temui dalam novel-novel yang lain. Kalau anda suka kepada gaya cinta tetapi cuba menafikan perasaan itu, yang akhirnya membawa kepada penyesalan kerana hero atau heroinnya terlewat untuk menyedarinya,maka inilah novel yang anda perlu baca.
Nurul Suhana, gadis biasa dari keluarga sederhana dan hanya mempunyai ibu  satu-satunya ahli keluarganya. Kamal Ilham yang hadir dalam hidup Nurul Suhana dan ibunya umpama penganti yang dihantar untuk mengantikan arwah abang Nurul Suhana. Ikatan abang dan adik angkat yang terjalin semenjak Nurul Suhana berusia 9 tahun tidak menghalang Nurul Suhana daripada secara diam-diam menyintai Kamal Ilham. Sementara Kamal Ilham sudah ada pilihan hati yang sesuai dengan dirinya.

Disebabkan sedar akan jarak umur yang ketara dan perbezaan latar belakang, Nurul Suhana tidak mampu untuk menuntut rasa yang sama dari Kamal Ilham. Mungkin benar dia hanya seorang adik bagi Kamal Ilham.
Disaat, hatinya terluka kerana cinta terhadap Kamal Ilham, hadir Alvin dalam hidupnya. Lelaki yang serba-serbi sempurna dan ada segalanya, hadir umpama semangat baru untuk Nurul Suhana bangkit semula dari kekecewaan. Alvin hadir membawa bahagia buat Nurul Suhana yang sedang terluka.

Apa yang saya kurang suka tentang novel ini?
Saya kurang suka dengan watak hero yang seolah-olah tiada pendirian dalam mengendalikan hati dan perasaannya. Sehingga ke saat akhirpun, dia masih  berdolak-dalik dengan perasaan sendiri.

Apa yang saya suka?
Hubungan antara Siti Rahmah, umi Nurul Suhana dan Datuk Seri Noura Azlin, mama Kamal Ilham yang sangat akrab. Walaupun berbeza status, namun mama Kamal Ilham tidak pernah menunjukkan keangkuhan. Malah sanggup menumpangkan Nurul Suhana dan ibunya disaat mereka hilang tempat berteduh. Malah mereka berdua saya lihat terlalu terbuka akan hubungan Nurul Suhana dan Kamal Ilham.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

AS: Cabaran 50 Buku (26) Lasykar Pelangi


Tajuk: Lasykar Pelangi
Penulis: Andrea Hirata
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd (2009)
456 Mukasurat
Harga: RM28 (SM)/ RM31 (SS)

Pertama kali membaca karya sebegini. Perasaan dan beban pembacaan tidak seperti saya membaca novel-novel yang lain. Hampir 2 minggu saya cuba membaca dan memahami jalan cerita. Walaupun agak sukar tapi saya tetap berpuas hati dengan apa yang disampaikan oleh penulis. Ternyata begitu banyak perlajaran kehidupan yang boleh dinikmati melalui karya pertama Andrea Hirata ini.

Kisah ini adalah perjalanan kehidupan sebelas anak-anak Melayu Belitong dalam mengenal erti pendidikan dan perjalanan hidup di sekolah kampung Muhammadiyah yang ternyata tidak mudah kerana dibelit kemiskinan. Namun kesungguhan mereka untuk mendapatkan ilmu memang sangat mengagumkan. Mereka tidak pernah menyerah kalah walaupun keadaan tidak selalunya menyebelahi mereka.Alangkah bagusnya sekiranya anak-anak muda sekarang ini mempunyai semangat seperti mereka untuk mengubah hidup melalui dunia pendidikan dan pengajaran yang diperolahi melalui kehidupan.

Siapa sangka di sekolah yang begitu daif lahir seorang genius,Lintang, yang telah mengharumkan dan mengangkat nama sekolah Muhammadiyah itu. Namun disebabkan tuntutan kehidupan yang begitu sukar telah menyebabkan segala keistimewaanya seolah terbuang begitu saja. Bukan saja Lintang, malah Mahar, Syaban, Kucai juga mempunyai kebolehan dan keistimewaan yang tersendiri.

Namun bukan semua mereka mampu meneruskan cita-cita mereka. Namun bukan juga apabila tidak dapat mengapai cita-cita, peluang kehidupan tertutup terus buat mereka. Apa yang pasti segala ilmu kehidupan yang diterapkan dalam jiwa mereka sejak dari sekolah Muhammadiyah lagi kekal melekat di sanubari di kesebelas anak-anak muda tersebut.

Bagi saya, novel ini perlukan seseorang itu bersabar dengan cara penyampaian penulis yang dapat saya rasakan begitu terperinci untuk menerangkan sesuatu.Kagum. Itulah yang saya dapat simpulkan. Namun mungkin saya bukan pembaca yang baik bagi karya-karya sebegini. Namun saya tidak akan menolak untuk membaca novel yang berada di luar kebiasaan novel yang saya selalu baca. 

Mungkin bagi yang tidak suka mengambil masa membaca novel ini, boleh saja terus menonton filem ini di televisyen. :)

http://loveLovely.flashwidgetz.com