Sunday, August 21, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (41) Viva Sakura



Tajuk: Viva Sakura
Penulis: Zuliana Abuas
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd (Cetakan 2 April 2009)
602 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/ RM24(SS)

Saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat ulasan terkini yang dibaca bagi bulan Ogos selepas ulasan yang terdahulu.Buat pertama kalinya saya ingin berkongsi  rasa tentang novel terbitan NB Kara di di sini. Namun Viva Sakura bukanlah novel pertama  NB Kara yang saya baca.

Melihat tajuk saya mengandaikan bahawa saya kan bertemu dengan sesuatu yang baru dalam novel ini. Sedari awal pembacaan saya seolah-olah menonton drama Korea yang telah dialih bahasakan ke Bahasa Melayu kerana seingat saya tiada satu pun bahasa Korea digunakan walaupun hampir keseluruhan cerita berlaku di Negara Korea dan watak Sakura juga dikelilingi oleh orang berbangsa Korea (mungkin agak pelik bagi sesetengah pembaca). Mungkin inilah sesuatu yang baru yang saya telah temui dalam novel ini. 

Kekadang boleh saja saya membayangkan hero dan heroin dalam drama MY Girl atau Personal Taste bila saya membaca novel ini. Mungkin juga kerana saya tidak dapat mengambarkan bagaimanakah rupa paras Sakura Alia, Ryan Lee dan Joo Shin. Kalau tidak pun saya akan bayangkan saja hero-hero dan heroin dalam Boys Over Flowers.

Disebabkan hampir keseluruhan novel ini berkisar di Negara Korea, maka banyaklah juga tempat-tempat di Negara Korea yang turut digambarkan dalam novel ini termasuklah Pulau Jeju yang terkenal itu.Malah masyarakat yang mengelilingi Sakura tiada seorang pun yang berasal dari Malaysia. Jadi boleh dikatakan memang 100% Sakura dikelilingi oleh orang yang berbangsa Korea malah kawan karibnya juga orang Korea.Jadi tidak mustahil jugalah Sakura jatuh hati dengan dua jejaka Korea (bayangkan hero-hero yang hensem saja ) dan fasih berbahasa Korea.Walaupun pada akhirnya Sakura sedar dia hanya mencintai salah seorang daripada mereka berdua.Namun hubungan baik dengan seorang lagi tetap utuh sehingga ke akhir cerita.

Biarlah saya berkongsi sedikit dengan semua apa yang telah saya baca (bagi yang sudi)

Sakura Alia bertekad untuk meneruskan pencarian ibunya di bumi Korea selepas menamatkan pengajiannya. Namun pencariannya berakhir apabila dia hanya mampu berdepan dengan pusara ibunya. Apa yang dia tidak ketahui adalah kisah sebenar yang menyebabkan dia terpisah dari ibu kandungnya itu. Dalam pencariaannya, Sakura menjadi amat rapat dengan Encik Takai dan anak lelakinya Joo Shin. Layanan baik Joo Shin menyebabkan perasaannya terbuai indah. Pada masa yang sama Ryan Lee, ketua kepada Joo Shin juga menyimpan perasaan terhadap Sakura. Namun ada kisah lama yang dipendam sehingga menyebabkan kisah cinta Sakura dan Ryan Lee tidak selamanya mewangi. Kesudahanya? Biar pembaca sendiri yang akan mengetahuinya.

Bagi peminat drama Korea, boleh saja membaca novel ini kerana novel ini tidak kurang hebatnya kerana mampu melahirkan rasa indah kisah dongeng bak Cinderella dan juga mampu melahirkan unsur suspen yang biasa kita tonton dalam drama Korea. Malah konflik keluarga yang berlaku juga, tutur berlaku dalam drama Korea yang biasa kita tonton. Kelainannya, dalam novel ini ada watak Sakura Allia yang mempunyai darah Melayu dan Korea.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Sunday, August 7, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (40) Kau Yang Satu



Tajuk : Kau Yang Satu
Penulis: Nia Azalea
Penerbit : Alaf 21 (Cetakan 9 -2005 )
416 Mukasurat

Walaupun telah diterbitkan pada tahun 2002, saya terpanggil untuk membaca novel ini memandangkan pada tahun 2005 telah mencapai cetakan yang ke-9. Ingin sekali saya mengetahui tarikan dalam novel ini. Namun setelah membaca beberapa buah novel yang hampir mempunyai tema yang hampir sama iaitu ‘berkahwin kerana terpaksa dan kemudian jatuh cinta dengan pasangan’, saya sudah dapat mengagak penghujung ceritanya. Mungkin tidak adil bagi saya mengatakan bahawa tema yang sebegini biasa-biasa sahaja hanya kerana saya telah membaca banyak kisah sebegini. Ini kerana novel ini telah diterbitkan bertahun lebih awal dari novel-novel yang saya telah baca.

Salina digambarkan sebagai seorang gadis yang berasal dari kampung terpaksa berkahwin dengan anak seorang yang bergelar Datuk yang pernah diselamatkan oleh ayahnya. Sedangkan pada ketika itu Salina sudah mempunyai pujaan hati walaupun mulutnya tidak pernah mengaku. Sementara Taufik anak Datuk Mustaza telah mempunyai kekasih yang lebih cantik, pandai bergaya dan merupakan seorang model. Jauh sekali kalau dinilai dari kecantikan luaran dibandingkan dengan Salina yang hanya gadis kampung yang tidak tamat tingkatan 6, dan lebih selesa berbaju kurung.

Menurut rasa hatiku:
Walaupun Salina dilihat sebagai gadis kampung, lemah lembut dan bersopan tetapi saya melihat dia sebagai seorang gadis yang pandai menyembunyikan dan memendam perasaannya. Walaupun mendapat layanan yang kaku dari Taufik, dia masih boleh bersabar sehinggalah selepas mendengar nasihat Normah.
Namun saya agak terkilan dengan sikap Salina semasa Taufik difitnah Isabella. Hilang sudah sikap bersabarnya dan sikap percaya kepada suami sendiri apabila dia dengan mudah percaya kata-kata Isabella. Malah sikap memendam perasaan juga menyebabkan dia lebih sanggup menunggu Taufik berterus-terang daripada bersemuka sendiri dengan Taufik. Disaat Taufik perlukan sokongan, Salina seolah tidak sanggup berada disamping suaminya. Hingga akhirnya Taufik mengambil sikap beralah dengan menjauhkan diri dari Salina seperti yang Salina minta. 

Menjauh bukan bermakna Taufik bersalah, bukan juga bermakna dia sudah hilang sayang terhadap Salina. Namun dia mencari ruang buat dirinya sendiri, merawat hati apabila isteri sendiri tidak mempercayai dirinya. 

Bagi saya, tidak ada kurangnya jalan cerita ini,menarik menurut acuan yang tersendiri.Malah saya berasa ngilu dengan tindakan Richard terhadap Isabella di akhir cerita.Mungkin itulah balasan yang setimpal untuk Isabella.

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Tuesday, August 2, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (39) Bening Merah Jingga


Tajuk: Bening Merah Jingga
Penulis: Nazurah Aishah
Penerbit: Jemari Seni ( Julai 2011)
513 Mukasurat
Harga: RM20 (SM)/ RM23(SS)

Sudah lama habis dibaca namun baru kini ada kesempatan untuk berkongsi apa yang saya rasa tentang karya terbaru Nazurah Aishah, Bening Merah Jingga. Karya yang ditunggu-tunggu dan memang saya sentiasa suka dengan cara penulisan penulis ini. Hampir ada persamaan dengan gaya penulisan seorang penulis yang saya rasa dari negeri yang sama, tetapi tetap ada kelainan. Mungkin yang samanya adalah, sentiasa ada kehadiran watak-watak dari novel-novel yang terdahulu. Bagi sesiapa yang mengikuti karya-karya Nazurah Aishah akan mengenali siapa mereka. Kehadiran watak-watak ini bukan saja berjaya mewarnai jalan cerita tetapi berjaya mendekatkan pembaca dengan watak-watak tersebut.
Mengenali mereka dari rasa hatiku:
Ellina:
Tidak perlu digambarkan dengan teliti wajah dan rupa Ellina. Hanya dengan membaca gerak-gerinya dan tutur katanya, hati saya telah terpikat. Seorang gadis yang tegas dalam lemah-lembutnya dan jarang sekali menampakkan hatinya yang berduka kerana sentiasa dianggap orang luar  oleh Haji Idris. Malah rasa terseksa kerana dia terpaksa menjauhi Ehsan begitu terasa.Mencintai tidak bermakna dia harus memiliki.
Ehsan:
Boleh saja pembaca yang membaca novel ini suka atau tidak suka dengan Ehsan. Memang pada mulanya hati berkata,  Ehsan hanyalah contoh lelaki yang hanya pandai berkata cinta tetapi apabila badai melanda, sudah bersedia angkat kaki. Namun apabila membaca keseluruhan ceritanya, Ehsan tidaklah seteruk itu. Dia hanya menunaikan tanggungjawab sebagai anak yang mentaai ayahnya walaupun hatinya tidak pernah merelakan Ellina jauh darinya. Mungkin ada baiknya pengakhiran bagi watak Ehsan disudahkan sebegitu, agar dia sentiasa diingati dan kekal di hati pembaca.
Hannan:
Mengenali watak Hannan melalui novel Syud, saya sudah tidak sabar ingin mengetahui lanjutan kisah duda anak satu ini. Terpaksalah saya membelek helaian terakhir walaupun bacaan baru di bab yang kedua.Ruang kedua yang diberikan kepada Hannan untuk menjaga hati seorang wanita tidak dia persiakan dengan kesungguhannya untuk menawan hati Ellina. Mungkin rasa bersalah kerana pernah mengabaikan arwah isterinya menyebabkan perwatakannya bertukar menjadi seorang lelaki yang lebih perihatin dengan perasaan wanita. Bagi saya, Ellina begitu bertuah mengenali Hannan yang baru.

Apa-apa pun membaca Bening Merah Jingga bukan sekadar bermain dengan emosi. Malah kalau diteliti terselit sesuatu yang lain, luahan hati kepada pihak parti-parti politik( walaupun hanya diselitkan sedikit saja). Bukan bertujuan membangkang tetapi sekadar menyuarakan apa yang fakta dan realiti. Tidak juga menunding jari kepada mana-mana pihak.

http://loveLovely.flashwidgetz.com