Wednesday, July 20, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (38) 566 Hari Mencari Cinta


Tajuk     : 566 Hari Mencari Cinta
Penulis : Ilya Abdullah
Penerbit : Kaki Novel  (April 2011 )
409 Mukasurat
Harga    : RM18 (SM)/ RM21 (SS)

Pertama kali membaca karya penulis novel ini walaupun novel 566 Hari Mencari Cinta bukan novel pertama beliau. Kalau pembaca memerlukan bacaan yang ringan dan santai, maka novel ini sememangnya sesuai . Walaupun tidak mencapai kepuasan ( bukan senang  hendak memuaskan hati semua orang )seperti saya membaca novel-novel yang lain saya tetap meneruskan bacaan sehingga ke helaian yang terakhir sambil mencuba mencari satu titik di mana saya akan merasa teruja untuk meneruskan bacaan. 

Saya juga merasa hampa, kenapa saya tidak boleh menyukai watak Firdayu?Mungkin juga sebab Firdayu digambarkan sebagai seorang perempuan yang agak keterlaluan dalam mempermainankan hati lelaki-lelaki yang menyukainya. Malah dengan neneknya juga Firdayu bersikap agak kasar (agak tidak wajar walau sebanyak mana dia tidak sebulu dengan neneknya ).Malah peranan Babahnya juga agak tidak menonjol  mungkin kerana sudah didominasi oleh watak Firdayu.

Mungkin ada sedikit perasaan dengan cara watak Kid atau Keyrill Benjamin atau digelar Mr Stone Cold (sesuai dengan gambaran watak Kid semasa bersama Firdayu) digambarkan. Namun bagi saya masih tidak mencukupi.

Kisah Firdayu yang membuat perjanjian dengan neneknya untuk mencari cinta. Sedangkan Firdayu tidak mahu menjadi hamba cinta, sekadar mempermainkan hati lelaki-lelaki yang terpersona dengan kecantikannya. Dia mencari cinta sekadar untuk mendapatkan kekayaan neneknya. Dia juga tidak sedar cinta sejati telah menunggu di depan mata. Apakah Firdayu akan mendapat apa yang dikehendakinya?


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Bening Merah Jingga - Nazurah Aishah Selamat Sampai

 Rasa happy sangat sebab novel yang ditunggu-tunggu sampai jua akhirnya. Jom belek-belek gambar memandangkan saya tak dapat nak buat review novel sejak seminggu ni. Busy jerrr... :)

4 BUAH NOVEL BENING MERAH JINGGA 






4 buah tu bukan milik saya sorang ye...milik Mimah, Jiah & Rohayati. :) Cuba tengok pic bawah tu. Ada yang berbeza.....
Personal Signature dari Penulis tu....

Bukan bermakna novel teman-teman tak de..tp yang ni lain sikit istimewanya.

BENING MERAH JINGGA

Tak sabar nak baca. Tapi kena sabar dulu sebab banyak sangat hal-hal lain yang menunggu.


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Friday, July 15, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (37) Nurul Laila Suria


Tajuk : Nurul Laila Suria
Penulis: Fatihah Pauzihal
Penerbit: Jemari Seni ( Jun 2011 )
539 Mukasurat
Harga    : Rm21 (SM)/ RM24 (SS)

Buah tangan dari Jemari Seni untuk Cabaran 50 Buku bulan Mei, saya pegang dengan perasaan yang sangat teruja. Bukan saja saya yang turut merasa gembira, malah rakan-rakan pembaca novel yang lain turut tidak sabar untuk sama membelek novel ini.Terima kasih kepada Jemari Seni.
Disebabkan kekangan masa, saya serahkan kepada dua rakan pembaca novel untuk membaca novel ini dahulu.Berdebar juga ketika menunggu reaksi mereka berdua selepas membaca novel ini. Apa komen mereka?
a) Seawal cerita penulis telah berjaya menarik minat pembaca untuk meneruskan bacaan.
b) Pengarapan jalan cerita yang unik dan menarik.
c) Penulis berjaya mewujudkan unsur suspen sebelum penyelesaian konflik antara watak.
d) Akan dapatkan satu untuk koleksi sendiri. 

Disebabkan komen-komen positif mereka, saya pun tidak sabar untuk mengetahui kisah Nurul Laila Suria. Selepas selesai membaca novel ini, memang saya akui bahawa novel ini memang mempunyai kelainan jalan cerita. Biasanya kita membaca tiga ceritera berbeza dalam satu novel, dalam novel Nurul Laila Suria, kita seolah-olah disajikan dengan tiga ceritera dalam satu cerita. Kelainannya adalah 3 kisah ini berkongsi titik permulaan dan pengakhiran yang sama.Walaupun permulaan cerita ini merupakan titik pertemuan semula antara Nurul, Laila dan Suria, tiga sahabat yang pernah akrab suatu ketika dulu.Pada titik pertemuan itu juga masa lalu mereka diimbas satu persatu lantas membawa pembaca seolah-olah membaca tiga ceritera yang berlainan. Sehinggalah sampai ke bab-bab akhir, barulah kisah mereka bersatu semula dan saling berkait antara satu sama lain. Sememangnya, teknik imbas semula yang berulang-ulang ( saya pun tidak pasti apakah istilah yang sesuai digunakan untuk teknik sebegini) yang digunakan oleh memang berkesan dan menarik.
Pada bab-bab akhir itu jugalah, unsur-unsur suspen begitu melekat sehingga saya sendiri merasakan debar yang bukan sedikit. Memang saya elakkan diri membaca mukasurat terakhir sebelum membaca novel ini kerana saya tidak mahu membunuh rasa suspen yang menanti. Cara penulis mengulas satu-satu tempat juga begitu teliti sehingga saya seolah-olah turut berada bersama-sama watak ( rasa ini memang dikongsi bersama rakan yang telah membaca novel ini. Mungkin juga penulis memang pernah sampai ke tempat-tempat yang dinyatakan dalam novel, itulah yang boleh kami andaikan ). Namun saya akan lebih gembira sekiranya kisah Nurul berakhir dengan Ustaz Hakim. :)

Antara ketiga-tiga watak, Nurul, Laila dan Suria, saya sesungguhnya sangat bersimpati dengan nasib Laila. Dari awal cerita, dirinya sentiasa diduga dengan pelbagai dugaan. Ada lagikah ibu bapa yang sanggup mengguna-gunakan anak sendiri untuk kepentingan mereka sendiri? Penulis juga menampilkan persamaan antara Nurul, Laila dan Suria, itu ketiga-tiganya seorang ibu. Walaupun mungkin mereka sekadar ibu angkat ataupun menjadi ibu tanpa rela kerana perbuatan tanpa perikemanusian orang lain.Namun yang pasti cara penulis menghidupkan naluri seorang ibu dalam setiap watak memang menarik.

Apa yang pasti, penyampaian cerita Nurul, Laila Suria memang menarik dan mempunyai kelainan. Banyak lagi yang menarik di dalam novel Nurul, Laila, Suria yang tidak dapat dikongsikan disini. Biarlah bakal pembaca yang lain menyelami sendiri kisah Nurul, Laila, Suria ini.


http://loveLovely.flashwidgetz.com

Monday, July 11, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (36) Tanya Pada Hati



Tajuk: Tanya Pada Hati
Penulis: Iman Xara
Penerbit: Jemari Seni (2009)
479 Mukasurat
Harga: RM20

Bila saya imbas semula, barulah saya sedar ketiga-tiga novel Iman Xara saya telah baca. Bermula dengan Rumput Masih Hijau, kemudian Kau Curi Hatiku dan yang terakhir Tanya Pada Hati.Mungkin agak pelik kerana saya membaca tidak mengikut turutan tahun keluaran. Apa yang saya dapat katakana adalah, novel Iman Xara memang mempunyai gaya yang tersendiri ( menurut pendapat saya ).Mungkin juga apa yang saya rasa ini tidak pembaca lain rasa.

Sememangnya saya sedar, apabila saya membaca karya Iman Xara, saya memang perlukan tumpuan penuh. Bukan disebabkan bahasa yang sukar tetapi apabila saya membaca karya ini, saya seolah-olah dibawa menelusuri perjalanan kisah watak-wataknya yang tidak semudah yang dibaca.Membaca karya ini membawa saya bersama-sama untuk cuba memahami sebab-sebab untuk setiap tindakan watak-wataknya.Memang agak serius kedengaran, kekadang saya boleh saja turut terbawa dengan emosi watak-wataknya Farisya Ibrahim dan Fitri Hidayat. Turut merasakan trauma yang dialami oleh Farisya saat hampir dirogol dan turut merasa kecewanya dia apabila lelaki yang dianggap dapat melindunginya bertindak meninggalkan dirinya disaat dia memerlukan.

Penulis berjaya mewujudkan watak Iskandar yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat baik, baik pekerjaannya, baik perkertinya, malah tidak mudah berputus asa untuk mendapatkan cinta Farisya.Namun siapa sangka, lelaki yang begitu beria-ia untuk memiliki hati Farisya sanggup meninggalkan dia begitu saja. Sama juga seperti Idayu yang memiliki watak yang sentiasa berubah-ubah. Walaupun Idayu kelihatan seperti gadis yang baik-baik saja ketika dia cuba menawan hati Fitri, hati saya tetap menolak dan tidak ingin Fitri bersama Idayu ( terlebih emosi pula ). 

Mungkin ada benarnya juga kata-kata yang lebih kurang berbunyi ‘ seorang lelaki dan wanita tidak akan dapat menjadi sahabat kerana mungkin salah satu daripadanya akan tergelincir perasaannya’. Dalam kata lain, akan timbul perasaan yang melebihi perasaan antara seorang sahabat saja. Begitulah yang terjadi kepada Farisya dan Fitri.Perhubungan yang berlandaskan persahabatan sehingga mereka tidak sedar akan perasaan cinta yang memang telah ada di hati mereka ataupun disebabkan masing-masing takut persahabatan mereka akan tercemar sekiranya ada perasaan sebegitu. Maka masing-masing lebih sanggup mengalihkan rasa di hati kepada orang lain, memendam rasa, menjeruk jiwa sehingga sampai satu ketika begitu terseksa perasaan mereka.

Namun saya boleh tersenyum lega apabila hampir sampai ke helaian yang terakhir. Hilang segala perasaan yang tidak tenang membaca pergolakan Farisya dan Fitri sedari awal.

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Tuesday, July 5, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (35) Tinta




Tajuk: Tinta
Penulis : Nasron Sira Rahim, Syud, Pingu Toha
Penerbit: Jemari Seni ( Mac 2011 )
549 Mukasurat
Harga: RM21.50 (SM)/ RM24.50 (SS)

Tiga Ceritera dalam Sebuah Tinta, sememangnya menarik dan penuh dengan suspen, manis dan mengusik hati. Inilah yang dapat saya kongsikan:

Wajah Ketiga – Nasron Sira Rahim
Karya pertama penulis yang saya pernah baca. Pertama kali juga membaca karya penuh thriller dan suspen begini. Walaupun tidak biasa, namun ketika membaca kisah Pembunuh Obituari yang disiasat oleh Inspektor Faiz, saya turut merasakan perasaan berdebar-debar sedari mula hingga ke akhirnya. Gambaran ngeri dapat saya bayangkan.
Sangkaan Pembunuh Obituari telah berjaya ditangkap ternyata silap sama sekali, kerana yang mereka tangkap adalah pembunuh yang sekadar meniru modus operandi Pembunuh Obituari. Namun benarkah keduanya tiada kaitan?

Dia, dalam Ramai – Syud
Kelainan yang telah buat saja jatuh hati. Bukan kelainan dalam jalan cerita tetapi kelainan penulis menyampaikan karyanya. Hasil karya Syud yang keberapa saya baca, saya pun tidak pasti. Namun yang pasti, saya suka karya-karya penulis ini.
Pertemuan yang tidak pernah dirancang oleh Sufiy Suraiya dan Ameer , malah tidak pernah berkenalan dengan satu sama lain. Persamaan mereka berdua ialah, mereka sebenarnya dalam diam sama mengharapkan akan ada pertemuan selanjutnya. Namun mereka terpisah selama beberapa tahun sehingga masing-masing tidak pasti mungkinkah ada pertemuan lagi antara mereka.
Oh…rupa-rupanya mereka jiran selama ini. Tersenyum-senyum sendiri ketika Ameer dikenakan oleh adiknya menyampaikan ucapan dalam siaran radio. Dalam hati memang sudah dapat mengagak, mesti ada orang lain yang sengaja mengenakan Ameer yang  suka melambat-lambatkan usahanya untuk mengenali Sufiy.
Saya tersenyum lagi apabila sedar yang Ameer juga adalah rakan suku-sakat Azril,Adil dan juga Pacai. Ada lagi ke rakan-rakan mereka yang saya belum kenali ? ;)

Ada & Evan – Pingu Toha
Tabik betul dengan gaya penulis yang bersahaja dalam karyanya kali ini . Bersahaja dan hanya melalui balasan emai-email antara Ada dan Evan, namun apa yang saya boleh katakan memang sangat sweet dan mengusik hati.Malah boleh saja saya tertarik dengan jalan cerita sebegini.
Disebabkan dipaksa berkenalan dan seterusnya akan disatukan oleh ‘janji tadika’ ayah dan ibunya, maka bermulalah email-email antara Evan dan Ada. Evan, yang naïf soal cinta, anak manja ibu dan kuat makan memang tiada rasa suka terhadap Ada pada mulanya. Begitu juga Ada yang pernah kecewa dua kali dalam bercinta seolah-olah belum bersedia bercinta lagi apa lagi ‘kahwin paksa’ dengan Evan.
Ada saja ayat-ayat spontan yang membuatkan saya tergelak, paling tidak pun tersenyum seorang diri membaca novel ini. 

Boleh saja karipap ayah Evan bertukar inti, yang sepatutnya berintikan daging ayam bertukar berintikan sardine kerana marahkan Evan yang tidak mahu berkahwin dengan Ada..Namun saya agak kecewa kerana ceritanya hanya terhenti begitu saja (bagi saya). Mungkinkah ada sambungannya, kisah Ada dan Evan?

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Saturday, July 2, 2011

Keberadaan



Hi,
Cuma tertanya-tanya..pernahkah anda merasa tenang dengan keberadaan seseorang itu disamping / disekitar anda? Maksud saya seseorang yang lain, yang tiada kaitan dengan hidup anda ( mungkin mulanya memang tiada kaitan) tetapi keberadaannya memang anda senangi dan ternanti-nanti ( sehingga dia menjadi seorang yang penting dalam hidup anda / kekal tiada kaitan/ pertalian langsung ).
Seperti kata-kata yang pernah saya baca dari sebuah novel, yang lebih kurang begini mengikut pemahaman saya " kadangkala orang asing tu seperti keluarga anda,kadangkala keluarga seperti orang asing bagi anda" (abaikan lah bahasa yang tungang terbalik itu, yang penting difahami maksudnya. :)

Apa-apa pun ' life is beautiful in a very secret way'.
http://loveLovely.flashwidgetz.com

Friday, July 1, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (34) Bisik-bisik Gelora



Tajuk: Bisik-bisik Gelora
Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Buku Prima (2011)
598 Mukasurat
Harga: RM25.90 (SM)/ RM28.90 (SS)

“ Cinta bukan sekadar mengucapkan tapi mengusahakannya.”
Salah satu dari petikan kata-kata dari Bisik-bisik Gelora yang saya suka.Membaca sebuah lagi karya penulis terkenal Fauziah Ashari ternyata begitu berlainan sekali rasanya. Mana tidaknya apabila ada satu babak dalam novel ini yang telah berjaya membuatkan saya menangis dan tidak sudah-sudah bersimpati dengan watak-wataknya. Memang cukup berkesan cara penulis menampilkan setiap watak-wataknya. 

Apa yang saya boleh simpulkan:
          1.         Kisah yang penuh pengajaran kepada semua, setiap orang 
             diberi peluang untuk bertaubat, namun
                   ada  yang terus leka walau telah diberi peluang
                   sehingga mereka perlu bayar tunai di dunia ini.
2.   Sangat bersimpati dengan nasib Banin Arumi (Umi), Jad Izzudin ( mesti ada yang hairan kenapa simpati dengan Jad? ) dan juga Akif Allaudin.   Sungguh perjalan hidup mereka begitu tragis walaupun pada akhirnya ada cahaya kebahagian menanti.
3.    Watak-watak diwarnakan dengan baik, termasuklah      
       watak-watak sampingan
       (Nada, Wari dan Fakhri ). Cukup menarik dan berkesan.

Siapa sangka gadis nakal yang suka bersuka-ria dengan teman-teman boleh berubah apabila malang datang bertimpa-timpa. Mungkin orang lain akan terus hanyut, namun Umi telah bangkit dengan tabah, malah dia berjaya dalam pelajaran dan turut menjawat jawatan yang agak tinggi.
Semuanya berubah apabila dia dikahwinkan dengan Jad Izzudin yang tidak dikenalinya, dan kemudian lelaki yang baru dinikahinya itu ditahan polis. Malah lebih tragis lagi apabila ibu bapanya turut meninggal dunia selepas menghadiri pernikahannya. Maka sebab itu Umi bertekad untuk membawa diri kerana bagi Umi segala yang terjadi disebabkan oleh Jad.

Selepas 7 tahun dia kembali semula ke Malaysia, apa yang Umi cuba elakkan, itulah yang dia temui. Bertemu semula dengan Jad adalah perkara terakhir yang Umi fikirkan, walaupun statusnya masih isteri Jad. Namun Jad tidak memberi peluang untuk Umi melarikan diri lagi selepas semua yang dia terpaksa tanggung sendiri selepas kehilangan Umi. Bukan sekadar wang ringgit,malah Jad menanggung semuanya sendiri sedangkan Umi senang-senang melarikan diri. Itu yang Jad fikir. Walaupun Jad sudah berjaya namun bagi Umi, dia masih tidak mengenali siapa Jad sebenarnya.

Apabila saya katakana saya bersimpati dengan Umi, saya juga turut bersimpati dengan nasib Jad, malah lebih bersimpati dengan nasib Akif yang tidak diakui anak oleh Jad. Mungkin juga salah Umi dan Jad semua yang terjadi sehingga hidup mereka begitu lambat menemui bahagia.Derita Umi dan Jad bertambah apabila mereka tinggal serumah. Rasa yang baru menjenguk di hati Jad terus hilang apabila Fakhri dan Wilson hadir dalam hidup Umi.Malah bagi Umi,tiada rasa cinta terhadap Jad.

Lalu bagaimanakah Umi dan Jad berdepan dengan rumahtangga mereka yang suram itu? Mungkinkah bertambah sukar kerana adanya Nada?. Mampukah Akif mendapat kasih seorang ayah? Semuanya terjawab dalam Bisik-bisik Gelora, salah satu novel yang wajib dibaca peminat-peminat novel.

http://loveLovely.flashwidgetz.com