Sunday, June 26, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (33) Kau Laksana Bulan

Tajuk : Kau Laksana Bulan
Penulis: Aina Emir
Penerbit : KarnaDya Solutions (2006)
526 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)

Walaupun sudah lama diterbitkan dan diulang cetak beberapa kali, baru kini saya berkesempatan untuk membaca karya Aina Emir ini. Malah sudah pun ditayangkan di TV2 drama yang diadaptasikan dari novel Kau Laksana Bulan ini. Namun begitu saya tidak pernah berkesempatan untuk menonton versi dramanya. Lebih baik begitu, kerana saya lebih suka membaca dan menghayatinya tanpa pengaruh dari dramanya. Mungkin selepas ini saya akan mencari dramanya pula.

Novel Aina Emir yang kedua saya baca ini memang lain dari yang pertama dulu. Walaupun saya terpaksa menghayati jalan ceritanya yang saya anggap agak perlahan perjalanannya, namun saya sangat berpuas hati dengan cara penyampaian dan pengakhiran ceritanya. Penuh dengan tanda tanya dan tidak mudah untuk meneka apakah kesudahannya.

Mengenali Adrianna yang merupakan seorang novelis yang biasa mencorakkan cerita cinta yang begitu sempurna di dalam karyanya walaupun dia menulis karya romance thriller. Namun perjalanan cinta dia sendiri tidaklah seindah dan semanis setiap watak hero dan heroin di dalam karyanya. Tidak kurang dari paras rupa malah dia merupakan seorang penuntut sarjana selain dari penulis yang begitu laris novel-novelnya, namun perjalanan cintanya tidak mudah.

Syafik cinta pertama sejak dibangku sekolah, namun terputus begitu saja apabila mereka menginjak menara gading. Namun selepas sekian lama Syafik ingin mendapatkan cinta Adriana semula. Razif pula cinta keduanya, membawa bersama kenangan cinta yang begitu manis buat Adrianna walaupun sebentar cuma.Derita yang ditinggalkan Razif tidak mudah terubat sehingga dia terpaksa menolak hati lelaki yang hadir dalam hidupnya. Mungkin sebab itu juga Adrianna tidak begitu percaya kepada cinta dan begitu takut untuk menyerahkan hatinya kepada lelaki. Sehinggalah kehadiran Firas Ali, lelaki yang begitu berbeza kriterianya dari garis panduan Adrianna untuk dijadikan seorang teman lelaki dan berbeza juga dari Syafik dan Razif yang mempunyai kelebihan masing-masing.Disebabkan hati tidak tahu atau tidak mahu hendak memilih siapa, Syafiq ataupun Firas (walaupun begitu ketara dia begitu bahagia ketika bersama Firas ) maka Syafik dia layan, Firas juga dia layan.
Ketika ditinggalkan oleh Firas tanpa khabar berita selepas Firas mengetahui yang Adrianna adalah seorang penulis (Adrianna tidak pernah memberitahunya tentang itu) dan seolah-olah sekadar menggunakan dirinya  mendapatkan idea untuk watak utama hero novelnya barulah Adrianna sedar yang sebenarnya dia sayangkan Firas lebih dari seorang teman. Namun mungkinkah agak terlambat baginya untuk merawat hati Firas yang merajuk? Hati kecil saya berkata ‘padan muka Adrianna’ kerana tidak mahu menerima lelaki sebaik Firas dan tidak jujur dalam perhubungan.

Ketika gerhana perhubungannya dengan Firas, Adrianna secara tidak sengaja menggunakan Eizlan ketika dia merasa kecewa dan marah kepada Firas.Eizlan berjaya memujuk hatinya yang gundah kehilangan Firas. Adakah Eizlan lelaki yang berjaya membuka hati Adrianna? Saya begitu tertarik dengan watak Eizlan dicorakkan.Sehingga anda tidak akan dapat meneka siapa sebenarnya Eizlan yang tidak pernah putus menganggu hidup Adrianna.Hanya selepas anda membaca hingga ke helaian terakhir barulah semuanya terungkai.

Lepas ini saya pasti akan cari drama Kau Laksana Bulan walaupun agak terlambat ;)( Lakonan Zul Huzaimy dan Ayu Raudah )


http://loveLovely.flashwidgetz.com

AS: Cabaran 50 Buku (32) Tuan Rumah Pembantu Rumah






Tajuk: Tuan Rumah Pembantu Rumah
Penulis: Orkid Edyliyne
Penerbit: Fajar Pakeer (2011)
517 Mukasurat
Harga: RM21 (SM)/ RM24 (SS)

Rasa teruja menatap novel Tuan Rumah Pembantu Rumah di tangan, tidak sama rasanya selepas membaca sehingga ke helaian terakhir. Mungkin orang lain lebih sesuai dengan jalan cerita sebegini tetapi agak tidak sesuai untuk saya. Namun begitu saya tetap menghabiskan bacaan untuk mengetahui kesudahan cerita Intan Asha Azreen dan Emir Jihan.

Secara ringkasnya, Intan Asha Azreen telah mengambil jalan mudah dengan melarikan diri dari rumah apabila ditimpa masalah. Ketika kecewa melihat tunangnya Taufeeq Badree bersama perempuan lain ( yang bukannya baru pertama kali berlaku ), Azreen telah melarikan dirinya dari rumah. Sudahnya dia lebih sanggup menjadi pembantu rumah di rumah Tan Sri Kamil Adfian ( papa Emir Jihan ) sedangkan dia sendiri memang dari keluarga senang, anak Tan Sri Fadilhuddin dan merupakan seorang Head Chef di Hotel Intan Purnama (milik ayahnya ). Bermula dari saat itu, Azreen pantang bertemu Emir Jihan, ada saja yang akan dilakukan oleh kedua-duanya untuk mengenakan satu sama lain.Usik mengusik tidak pernah tidak apabila bertemu muka.

Ketika membaca novel ini, adakalanya saya tertanya-tanya sendiri, kenapalah watak Azreen yang sudah menjangkau 29 tahun dan Emir Jihan yang sudah berusia 34 agak tidak setara gambaran perwatakan keduanya dengan usia masing-masing. Walau secara realitinya, memang wujud sikap orang yang sebegitu, usia sudah matang tetapi perlakuan masih tidak menunjukkan kematangan tetapi saya mengharapkan watak Emir digambarkan agar lebih bersikap matang memandangkan dia seorang doktor dan sudah menjangkau 34 tahun umurnya.

Apabila melihat sikap Azreen, memang adakalanya akan timbul rasa tidak puas hati. Sebabnya adalah, dia lebih menunjukkan rasa benci kepada Emir Jihan ( walaupun selepas itu dia menerima Emir ) sedangkan reaksinya dan rasa benci kepada tunangnya yang curang tidak begitu menonjol. Sikap selambanya di rumah Tan Sri Kamil Adfian juga kadang-kadang saya kira agak keterlaluan ( sebagai seseorang yang berlagak sebagai pembantu rumah ).Namun, adakalanya perlakuan sepontant keduanya kadang-kala berjaya mencuit hati pembaca.

http://loveLovely.flashwidgetz.com

Saturday, June 18, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (31) Sayangku Merajuk

Cover yang sangat comel & menarik..

Tajuk: Sayangku Merajuk
Penulis: Ayu Emelda
Penerbit : Alaf21 (2011)
504 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24 (SS)

“Jangan dipendam rasa amarah,kelak hati yang parah. Jangan dilayan rasa kecewa, kerana jiwa pasti merana.”

Sayangku Merajuk, sebuah karya yang berjaya menyentuh hati dan membuatkan air mata saya bergenang                           ( mungkin kalau rakan lain yang membaca boleh sampai merah mata kerana menangis). Menarik, walaupun mungkin bagi orang lain biasa-biasa saja.

Rasa geram dan tidak puas hati betul dengan tindakan Aireen yang begitu tegar hatinya untuk membenci dan mendendami Shahir, suaminya. Kekadang sakit hati juga bila dengan selamba dia keluar berdua dengan Zarul sedangkan dia tahu dia masih isteri Shahir. Sedangkan Shahir hanya mampu memandang dengan hati yang bagai disiat-siat saat isteri tercinta melebihkan kekasih hati berbanding suami sendiri. Berdiam bukan bermakna Shahir suami yang dayus tetapi dia ingin memberi ruang kepada Aireen untuk berlajar menerimanya kembali secara perlahan-lahan. Memang kekadang dapat dirasakan betapa penat dan terseksanya saat Shahir ingin menjernihkan kembali hubungannya dengan Aireen. Nasib baik adik iparnya Hanis, ibu mertuanya dan dua anak kembarnya dengan cepat dapat menerima Shahir kembali dan merasakan Shahir memang patut mendapat peluang kedua. Mereka memang betul-betul ‘sporting’.

Benarkah tiada lagi cinta di hati Aireen buat Shahir sehingga dia bertekad untuk menikahi Zarul?Benarkah juga tahap kesabaran Shahir sudah sampai ke penghujungnya untuk memujuk Aireen sehingga dia terpaksa melafazkan talak? Sedangkan bagi dia, cintanya kepada Aireen adalah yang pertama dan Aireen jugalah bakal wanita terakhir yang akan dicintainya. Rasa hendak gelak tergolek juga ketika melihat reaksi Aireen apabila Hanis seolah mengiakan yang dia memang sedang menjalin hubungan dengan Shahir. Menurut Hanis tiada salahnya kerana antara Aireen dan Shahir tiada lagi ikatan suami isteri. Menurut Aireen, Hanis memang tidak patut bersama Shahir kerana dia tidak ingin melihat Hanis terluka seperti dia yang pernah dilukai oleh Shahir 5 tahun lalu.Benarkah begitu? Atau Aireen yang tidak sanggup Shahir memilih wanita lain? Bagaimana dengan dia seendiri yang bertekad meenikahi Zarul? Adakah Shahir ada rancangan lain untuk meraih semula cinta Aireen? Apa pula tindakan Aireen? Benarkah apa yang dia rasa benci atau dia sememangnya merajuk ditinggalkan Shahir suatu ketika dulu?

Saat Aireen dan Shahir masih meraikan cinta dan bulan madu mereka, Shahir terpaksa kembali ke Malaysia. Namun dia berjanji akan kembali tetapi ternyata dia tidak menepati janjinya untuk kembali. Hanya selepas 5 tahun barulah Shahir kembali dalam hidup Aireen dan anak-anaknya yang tidak pernah dia ketahui kewujudannya. Memang sewajarnya Aireen terluka, kecewa dan seterusnya membenci apabila Shahir tidak mampu memberikan jawapan sewajarnya kepada setiap persoalan selama 5 tahun dia ditinggalkan tanpa khabar berita.Namun sekiranya dia memberi ruang dan menyalurkan kemaafan kepada Shahir, mungkin Shahir tidak perlu melafazkan talak. Mungkin juga hati Shahir tidak akan terluka mendengar penghinaan yang dilemparkan oleh Aireen. Mungkin juga Aireen tidak merasa terusik hatinya saat menyangka Hanis akan bertunang dengan Shahir.Rahsia apakah yang terpaksa Shahir pendamkan sehingga dia lebih sanggup menerima segala kelukaan daripada menerangkan  hal yang sebenarnya kepada Aireen. Mampukah Shahir memujuk Aireen dan memenangi semula cinta Aireen?

Semua jawapan ada dalam Sayangku Merajuk. Jalan cerita yang menarik dan berwarna-warni. Ada duka dan ada cerianya. Saya suka :=)





http://loveLovely.flashwidgetz.com

Tuesday, June 14, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (30) Mungkin Nanti


Tajuk: Mungkin Nanti
Penulis: Anita Aruszi
Penerbit: Fajar Pakeer (2011)
645 Mukasurat
Harga: RM22.90(SM)/ RM25.90(SS)

Membaca sebuah lagi karya Anita Aruszi membuatkan saya tidak sabar untuk mengetahui pengakhirannya. Mungkin Nanti mungkin tidak banyak menampilkan kelainan dari novel-novel beliau yang terdahulu
(kecuali Kasihku Arina). Namun karya-karya beliau tetap saya suka.

Seperti biasa, watak-watak yang ditampilkan mempunyai kaitan masa silam antara satu sama lain. Aqila Murni, ditampilkan sebagai watak yang kurang sempurna. Walaupun berwajah manis namun, Aqi dilahirkan buta warna.Namun Aqi tidak pernah menyesali hidupnya yang tidak seindah hidup orang lain. Aqi juga tidak pernah mengenali ayahnya sejak lahir kerana ibunya diceraikan saat dia masih dalam kandungan. 

Namun, ketika pertama kali bertemu Nadzihar Hakim (Zahar), entah mengapa dia dapat melihat warna-warna yang begitu indah apabila dia memandang Zahar. Walaupun Zahar tidak pernah menyukai Aqi kerana pernah terluka disebabkan seorang wanita yang bergelar ibu, namun takdir menemukan mereka berkali-kali sehingga akhirnya Aqi terpaksa tinggal sebumbung dengan Zahar.

Zahar yang terluka ditinggalkan oleh ibunya kerana mengikut lelaki lain semenjak usia yang masih kecil tidak mampu membuang rasa terluka dan sakit di hati.Oleh sebab itu dia memilih untuk membenci dan tidak pernah membukakan hatinya untuk seorang wanita.Namun, takdir menentukan sebaliknya kerana akhirnya dia sedar dia menyayangi Aqi dan menyenangi kehadiran Aqi dalam hidupnya.

Sanggupkah Zahar menerima selepas dia mengetahui kekurangan Aqila Murni dan sanggupkah dia mengorbankan perasaan hatinya apabila dia mengetahui Aqila Murni mempunyai kaitan dengan penyebab derita yang ditanggungnya selama ini? Lalu adakah Iman yang lebih memahami akan mendapat ruang di hati Aqila Murni?

Dalam keasyikan membaca bab-bab akhir, hati saya sempat merungut apabila tiba-tiba ibu Zahar yang pernah meninggalkan Zahar ketika dia masih kecil dan membuatkan hati anaknya terluka memandai-mandai meminta Aqi meninggalkan hidup Zahar kerana takut Zahar akan terluka lagi selepas mengetahui kebenaran. Apa hak Sri Jalena meminta Aqi meninggalkan Zahar? 

Mungkin juga baru pertama kali saya menemukan heroin yang mempunyai masalah ‘colourblindness’. Satu kelainan yang menarik bagi saya.



http://loveLovely.flashwidgetz.com

Tuesday, June 7, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (29) Langsir Biji Remia

Tajuk: Langsir Biji Remia
Penulis: Noor Suraya
Penerbit : JS Adiwarna ( 2011)
263 mukasurat
Harga: RM 17 (SM)/ RM19 (SS)

Disaat memegang novel ini hati berbunga ria kerana tidak menyangka dapat naskah yang istimewa ini berserta tandatangan penulis lagi. Lagipun saya tidak pernah mendapatkan novel JS  Si Manis 17 dan saya tidak tahu apa perbezaannya dengan novel umum yang kerap kali saya baca.Namun hati tertanya-tanya juga, sesuaikah novel Si Manis 17 ini untuk saya yang sudah 3 kali ganda di luar lingkungan 17 ini? Malah rakan-rakan yang berkongsi membaca novel turut tertanya-tanya.Nantilah, akan saya kongsikan apa yang saya rasa tentang novel ini dengan mereka.

Setiap karya Noor Suraya yang saya baca tidak pernah hanya memberi rasa keseronokan membaca semata tetapi dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang diselitkan dalam setiap ayat bahasanya yang indah terjalin. (Bukan juga bermakna novel-novel lain yang saya baca tidak menyampaikan atau menyelitkan ilmu kepada pembaca-pembacanya. Setiap satu novel yang saya baca membawa makna yang tersendiri buat saya).Tidak usahlah dilihat dari segi bahasa yang digunakan, memang berada dalam kelas yang tersendiri,punya tarikan untuk terus dihayati.

Dalam novel ini, anda bukan saja membaca kisah Duha Hafa dan Umair.Diselitkan juga secara halus pandangan masyarakat kini terhadap bahasa dan sastera bangsa Melayu itu sendiri.Juga anda dibawa menyertai perjalanan Duha mengerjakan umrah, tempat pertemuan pertama dengan Ahmad Muhsin.Malah anda juga berpeluang menemui hidup rukun keluarga Duha Hafa walaupun berlainan rumpun namun hidup dalam penuh keserasian dan kebahagian.(Memang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur ).

Duha Hafa rakan sembang tingkap Umair zaman kanak-kanak. Dalam usia yang begitu muda juga, Umair sudah menyimpan hatinya untuk Duha. Duha yang cantik. Duha yang matanya bundar sayu seperti mata unta. Selepas sepuluh tahun, mereka bertemu semula. Namun Duha sudah berubah menjadi seorang yang pendiam dan memakai purdah hitam. Umair yang masih ‘menyimpan’ wajah Duha yang cantik di hatinya merasakan sudah masanya dia berterus-terang dan mengikat Duha sebelum Duha diambil orang lain. Namun, Umair tidak dapat menerima Duha selepas melihat wajah Duha yang baru. Malah Umair tidak sanggup memandang Duha dengan rasa cintanya lagi. Dia juga menghindar dari Duha. Amat tidak budiman Umair walaupun dia memberikan seribu alasan (untuk menunjukkan yang dia bukan lelaki jahat)untuk tindakan dan layanannya terhadap Duha.

Mungkin sudah tertulis bahawa wanita yang baik hanya untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Duha Hafa mendapat Ahmad Muhsin yang sentiasa memandang indah wajah Duha kerana dia melihat hati dan peribadinya. Manakala Umair mendapat Tamara Talib Winstedt yang dia pandang cantik luarannya macam perhiasan tetapi tidak mampu menjadi seorang ibu dan isteri sebaik Duha Hafa.

Ingin sekali saya mengetahui lanjutan kisah Amar dan Zara, rakan sembang tingkap yang baru.Andai ada kisah Amar dan Zara, biarlah Amar tidak seperti Umair.Biar dia tidak seperti Umair yang hanya memandang yang cantik saja dan biar juga dia tidak seperti Umair yang hanya mengatur kata yang tidak mampu dikota.


http://loveLovely.flashwidgetz.com

AS: Cabaran 50 Buku (28) Aku Kan Novelis



Tajuk : Aku Kan Novelis
Penulis: Nurul Syahida
Penerbit: Buku Prima (2010)
455 Mukasurat
Harga: RM17.90 (SM)/ RM20.90 (SS)

Aku Kan Novelis merupakan karya kedua Nurul Syahida yang saya pernah baca. Walaupun pernah membaca dua karya beliau tidak bermakna saya sudah faham benar cara penyampaian penulis ini. Namun apa yang saya dapat rasakan, Valentina Nervosa dan Aku Kan Novelis ini mempunyai persamaan dari cara penulis menampilkan satu-satu watak. Saya akui begitu tertarik untuk mendapatkan novel ini selepas beberapa kali membaca komen-komen yang positif dari resensi pembaca-pembaca yang lain. Sejujurnya kalau perlu memilih antara dua novel ini, saya lebih suka Aku Kan Novelis.

Saya tidaklah begitu arif untuk menilai istimewanya novel ini dari segi apa. Namun, yang pasti, di dalam novel ini saya temui kelainan. Jalan ceritanya bukanlah kisah yang membelai jiwa dan membuat anda ingin menangis. Jadi pembaca yang sukakan cerita sebegitu mungkin tidak dapat menerima cara penyampaian penulis ini ( saya dan rakan-rakan sudah terlalu kerap berbeza pendapat tentang novel-novel yang saya suka tetapi mereka tidak suka dan begitulah sebaliknya). Benar, kerana masing-masing berbeza citarasa.

Safiah Shuhaimi atau Safi saya rasakan seorang yang serba tahu apa yang dia lakukan dan dia merasakan dialah penyelesai masalah bagi dua kawan karibnya Helmi dan Iza yang dibelengu masalah perhubungan. Disebabkan usahanya juga, Helmi dan Iza menjadi pasangan bahagia. Semuanya terjadi kerana ‘diakan seorang novelis’, dia faham masalah orang lain dan dia dapat menyelesaikan masalah mereka. Namun, Safi sendiri tidak pernah jatuh cinta apatah lagi bercinta.Mengapa dia boleh berlagak bagai ‘doktor cinta’ dengan kawan-kawannya malah telah menulis novel-novel cinta yang mendapat sambutan?

Masalah sebenar Safi bermula apabila dia dipertemukan dengan Roul atas aturan yang Helmi dan Iza buat. Niat mereka untuk memberi masalah kepada Safi dan biarlah Safi menyelesaikan masalah itu benar-benar menjadi. Bertemu Roul tidak seperti dia bertemu lelaki normal ( normal menurut pandangan Safi) kerana Roul, rambutnya merah, mata kanannya juga merah, Safi juga perasan yang telinganya bertindik. Malah bicara Roul juga bukanlah bicara lelaki budiman, bicaranya penuh dengan carutan.

Berapa ramai wanita yang sanggup bertemankan lelaki seperti Roul? Saya tersenyum sendiri apabila Roul memangil Safi,’Lulu’ kerana telinga Safi tidak suka mendengar panggilan ‘lu’ dan ‘gua’ yang Roul gunakan. Kedengaran comel sangat.

Adakah Safi dapat menyelesaikan masalahnya yang satu itu? Dapatkah Safi memandang Roul dengan hatinya tanpa melihat rambut dan matanya  yang berwarna merah?Kalau anda sukakan karya yang santai, karya ini boleh anda pertimbangkan untuk dibaca. Permulaan yang agak perlahan namun,pembacaan saya lebih menjadi berwarna-warni selepas kemunculan Roul dalam hidup Safi.


http://loveLovely.flashwidgetz.com